Arab Saudi sedia kerjasama isu IS

Arab Saudi sedia kerjasama isu IS

JEDDAH, 7 Jun (Bernama) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Arab Saudi sedia bekerjasama dengan Malaysia dalam soal memulihkan semula mereka yang terpengaruh dengan ideologi kumpulan militan Negara Islam (IS).

Beliau berkata Arab Saudi mempunyai program untuk memujuk golongan yang terpesong dengan perjuangan IS supaya kembali semula ke pangkal jalan dan menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab.

Justeru, katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menghantar sebuah pasukan untuk mengkaji metodologi yang diguna pakai oleh kerajaan Arab Saudi dalam menangani masalah ini.

“Mereka mempunyai program tertentu dan kerajaan bersetuju menghantar sebuah pasukan untuk mengkaji….dengan cara ini kita dapat mempelajari kaedah yang digunakan,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadap Raja Salman Abdulaziz al-Saud di Istana As-Salam di sini, hari ini.

Katanya Kementerian Dalam Negeri akan mengambil langkah susulan dan mengenal pasti bagaimana mereka mengambil tindakan susulan ke atas rakyat mereka yang dipengaruhi IS.

Perdana Menteri Malaysia ketika mengadap Raja Arab Saudi. – AFP
Perdana Menteri Malaysia ketika mengadap Raja Arab Saudi. – AFP

Mengenai lawatan rasmi beliau atas undangan Raja Arab Saudi itu, Najib menyifatkan lawatan itu amat berjaya dalam mempertingkatkan hubungan yang sudah sekian lama terjalin.

“Pertemuan saya dengan Raja Salman saya anggap sebagai amat berjaya dan amat produktif yang menggambarkan hubungan sedia ada adalah sangat baik dan baginda menggambarkan hasrat untuk hubungan ini dipertingkatkan dalam pelbagai bidang dan dimensi,” katanya.

Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota, Mohammed bin Naif al-Saud selepas itu.

Beliau berkata ini merupakan lawatan rasmi pertamanya sejak Raja Salman ditabalkan awal tahun ini.

Najib berkata dalam konteks rantau ini dan ummah, Malaysia ingin melihat Arab Saudi bukan sahaja stabil dan kukuh tetapi menunjukkan kepimpinan yang berkesan demi ummah dan rantau ini.

Justeru, katanya Malaysia bersedia memainkan peranan dalam keselamatan dan menyokong pendirian Arab Saudi bagi menyelesaikan isu Yaman.

Najib berkata dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu Yaman, Malaysia juga berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas bantuan mereka untuk melakukan operasi menyelamat pelajar Malaysia di negara itu.

Perdana Menteri berkata mereka juga membincangkan perkara lain termasuk keadaan pelarian Rohingya yang cuba menyelamatkan diri dengan pergi ke perairan Malaysia dan Indonesia.

Najib berkata Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, akan mewujudkan satu dana kemanusiaan bagi membantu pelarian Rohingya dan Bangladesh.

“Dalam hal ini, saya kemukakan kepada Raja Salman dan baginda akan membantu memberi sumbangan kepada dana itu,” katanya.

Mengenai sasaran yang ditetapkan bagi dana itu, Najib berkata ia diserahkan kepada kerajaan Arab Saudi untuk menimbangkan jumlahnya.

“Raja Salman memberi sambutan positif dan arah menteri kewangannya mengambil tindakan dengan bertanya jumlahnya. Kita akan tahu selepas ini,” katanya.

Najib berkata sebagai langkah susulan, Kementerian Luar akan mewujudkan tabung dan beberapa negara seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE) membayangkan kesediaan menyumbang kepada tabung itu.

ARTIKEL YANG SAMA