Arab Saudi ta...

Arab Saudi tarik balik pengurangan kuota haji

JEDDAH, 6 Jan – Arab Saudi memutuskan untuk menarik balik pengurangan kuota jemaah haji yang dikenakan lima tahun lalu, bermula tahun ini.

Pihak berkuasa tertinggi meluluskan cadangan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, Putera Mahkota Muhammad bin Naif, untuk menguatkuasakan semula kuota haji kedua-dua jemaah tempatan dan asing yang wujud sebelum pengurangan diperkenalkan.

Portal berita Saudi Gazette memetik Menteri Haji dan Umrah, Muhammad Bantan sebagai berkata, pihak berkuasa berkaitan sudah membuat persiapan untuk menerima pertambahan jumlah jemaah untuk menunaikan haji tahun ini. Keputusan itu diumumkan ketika beliau menerima ketua delegasi haji dari Arab dan negara Islam di pejabatnya di Jeddah.

Pihak berkuasa sebelum ini mengenakan 20 peratus pengurangan kuota untuk jemaah dari luar negara dan 50 peratus pengurangan kuota untuk rakyat tempatan.

Ia bertujuan memastikan keselamatan jemaah ketika projek pembesaran terbesar Masjidil Haram yang hampir siap selain kerja menyiapkan mataf dan beberapa kawasan di sekitar kota Mekah. Baginda turut mengarahkan peningkatan kuota haji dilaksanakan secara berperingkat.

Putera Mahkota Muhammad berkata, bahawa jumlah sebenar jemaah haji bagi setiap negara akan ditetapkan oleh Menteri Haji dan Umrah.

Bagaimanapun baginda memberi jaminan bahawa ketetapan kuota bagi setiap negara akan terus dikekalkan. Di bawah sistem kuota yang dikuatkuasakan sedekad yang lalu, sesebuah negara dibenarkan menghantar seorang jemaah bagi setiap 1,000 penduduk Islam mereka.

ARTIKEL YANG SAMA