Arah tahan warga tempatan di Unit Kesihatan Mental

Arah tahan warga tempatan di Unit Kesihatan Mental

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Mahkamah Majistret, hari ini, memerintahkan seorang lelaki tempatan untuk ditahan di Unit Kesihatan Mental untuk penilaian psikologi.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli membuat keputusan itu setelah melihat tingkah laku agresif Haji Mohammad bin Haji Mustapa, 45, ketika dihadapkan ke mahkamah.

Ketua Majistret turut dimaklumkan bahawa tertuduh adalah seorang pesakit mental.

Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki dengan menggunakan parang ‘Kukri’.

Timbalan Pendakwa Raya Aiman Adri bin Ahmad Zakaria memberitahu mahkamah kejadian berlaku apabila sekumpulan pegawai dari Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi menjalankan tugas mereka bersama keluarga tertuduh di tingkat bawah kediaman mereka di Kampung Tagap, Jalan Selayun pada 30 Jun 2015 kira-kira jam 12:40 tengah hari.

Tertuduh kemudian muncul dari tingkat atas dan bersikap agresif apabila menyedari rumahnya menerima kunjungan dari orang yang tidak dikenali.

Tertuduh kemudian mengambil parang kukri dan telah menyebabkan kecederaan pada salah seorang dari pegawai itu.

Tertuduh memberitahu mahkamah bahawa tindakannya itu adalah untuk melindungi hak keluarga dan dirinya.

Ketua Majistret menetapkan 13 Julai untuk sebutan semula.

ARTIKEL YANG SAMA