Arah tembak misil Korea U

Arah tembak misil Korea U

TOKYO, 29 Jan – Jepun telah mengarahkan tenteranya supaya bersedia untuk memusnahkan mana-mana peluru berpandu yang ditembak oleh Korea Utara yang menggugat keselamatan negara, lapor media tempatan hari ini, tatkala kebimbangan meningkat bahawa Pyongyang sedang menyediakan satu pelancaran roket.

Menteri Pertahanan Gen Nakatani mengeluarkan arahan itu, lapor akhbar Nikkei dan Kyodo News, selepas laporan aktiviti meragukan di kompleks satelit utama Pyongyang mencetuskan spekulasi satu pelancaran mungkin dilakukan seawalnya pada minggu depan.

Seorang jurucakap kementerian pertahanan Jepun enggan mengesahkan laporan itu apabila dihubungi oleh AFP, berkata ia “akan mendedahkan strategi kami.”

“Namun kami sedang mengambil kesemua langkah yang mungkin untuk bertindak balas terhadap pelancaran peluru berpandu dengan mengumpul maklumat dan menyelaras bersama negara terbabit,” tambah beliau.

Korea Utara diharamkan daripada menggunakan teknologi peluru berpandu balistik oleh resolusi Majlis Keselamatan PBB, maka sebarang pelancaran akan menambah lagi ketegangan di kalangan komuniti antarabangsa hanya beberapa minggu selepas ujian nuklear terbarunya.

Dua pegawai pertahanan AS mengesahkan kepada AFP pada hari ini terdapatnya aktiviti berterusan di kompleks satelit Sohae, yang telah dipertingkatkan oleh Pyongyang untuk mengendali roket yang lebih besar sejak 2013.

Komen mereka keluar selepas Kyodo News di Jepun, memetik satu sumber kerajaan tanpa nama, berkata gambar satelit menunjukkan pergerakan yang meningkat di Sohae yang mungkin mencadangkan satu pelancaran seawalnya pada minggu depan.

Juga pada hari ini, Menteri Luar Jepun Fumio Kishida mengadakan perbualan telefon dengan Setiausaha Negara AS John Kerry mengenai kemungkinan pelancaran.

“Kami tidak menafikan kemungkinan bahawa Korea Utara akan mengambil tindakan provokatif lanjut,” beritahu Kishida kepada wartawan, menambah beliau dan Kerry telah “bertukar maklumat tentang cara-cara bekerjasama mulai sekarang.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA