Arbisyam benam MS ABDB 3-2

Arbisyam benam MS ABDB 3-2

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Mohd Nabil bin Haji Maidin menyelamatkan tiga sepakan penalti 10 meter MS ABDB pada separuh masa kedua bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukannya, Arbisyam FC, menerusi kemenangan tipis 3-2 ke atas MS ABDB.

Perlawanan Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) kelmarin itu menyaksikan persaingan sengit dua separuh masa perlawanan yang sangat berbeza.

Arbisyam FC menguasai separuh masa pertama sehingga berjaya menghasilkan tiga gol dalam tempoh empat minit, bermula dengan jaringan Mohd Nurizzat Akmal pada minit ke-13.

Selang seminit kemudian, Mohd Azizul Syafiee tenang menyempurnakan sepakan penalti 10 meter yang dihadiahkan kepada Arbisyam FC selepas MS ABDB melakukan enam kesalahan terkumpul untuk terus memacu Arbisyam FC mendahului 2-0.

Mohd Azizul Syafiee kemudiannya tidak menduga bola kencang rembatannya yang kelihatan kemas dalam dakapan penjaga gol MS ABDB tiba-tiba terlepas dan bergolek masuk ke gawang untuk gol ketiga Arbisyam FC pada minit ke-16.

Aksi Mohd Nabil selepas berjaya mendakap kemas sepakan penalti 10 meter kedua MS ABDB.
Aksi Mohd Nabil selepas berjaya mendakap kemas sepakan penalti 10 meter kedua MS ABDB.

Masuk ke separuh masa kedua ketinggalan 0-3, MS ABDB membawa misi baru dan ternyata ia berkesan apabila Mohd Isa berjaya menyumbat bola masuk pada minit ke-23, dan kemudiannya giliran Saiful Ariffin pula mudah menendang bola masuk ke gawang terbuka Arbisyam FC pada minit ke-29.

Pada ketika kedudukan mendekat menjadi 2-3 berkenaan, Arbisyam FC kelihatan tertekan sehingga menghadiahkan MS ABDB tiga sepakan penalti 10 meter dalam tempoh sepuluh minit baki perlawanan akibat melakukan masing-masing enam, tujuh dan lapan kesalahan terkumpul.

Mujur semua bola sepakan pemain MS ABDB itu menuju ke tengah gawang, yang walaupun kencang berjaya diselamatkan oleh Mohd Nabil yang tidak berganjak dari tengah gawang, sekaligus memastikan kemenangan penting 3-2 pasukannya yang menduduki tempat keempat musim lalu ke atas penyandang tempat ketiga musim lepas berkenaan.

Dalam perlawanan kedua kelmarin, Shah United FC mudah menewaskan Rizfiz FT 8-1 selepas mendahului 3-1 pada babak pertama dan menambah lima gol lagi pada babak kedua.

Perlawanan terakhir pula menyaksikan pesta 17 gol di antara BIO FT dengan NFT, namun BIO FT yang keluar sebagai pemenang dengan jaringan 10-7. Pungutan tiga mata pertama BIO FT itu bermula dengan pendahuluan 6-3 pada babak pertama sebelum menambah empat gol lagi di babak kedua walaupun berjaya dibalas tiga kali.

ARTIKEL YANG SAMA