Arbisyam FC benam NFT

Arbisyam FC benam NFT

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Arbisyam FC selesa menundukkan NFT dengan jaringan 7-0 untuk terus berada pada kelompok tiga terbaik dan tiga mata di depan penghuni tempat keempat, MS ABDB yang tewas 3-9 kepada Kota Junior.

Kini mengumpul 15 mata daripada tujuh perlawanan dengan catatan lima menang dan dua kalah, Arbisyam FC kini tiga mata di belakang penghuni tempat kedua, Shah United yang baru bermain enam kali dan enam mata di belakang pendahulu Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016, Kota Junior.

Pada perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, Arbisyam mendahulu 3-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Syazwan, Mohd Azri dan Mohd Rifdi masing-masing pada minit ke-7, ke-9 dan ke-11.

Aksi ketua pasukan Arbisyam FC (kiri) ketika mengemudi pasukannya menang 7-0 ke atas NFT (biru).
Aksi ketua pasukan Arbisyam FC (kiri) ketika mengemudi pasukannya menang 7-0 ke atas NFT (biru).

Separuh masa kedua menyaksikan Arbisyam FC menambah empat jaringan lagi menerusi jaringan kedua peribadi Mohd Azri hanya dua minit selepas rehat, disusuli rembatan Mohd Azizul pada minit ke-27 dan ke-38, dan jaringan sendiri pemain NFT di hujung perlawanan.

Liga utama futsal kebangsaan itu akan diteruskan lagi Jumaat, 12 Ogos ini dengan dua perlawanan iaitu Pega Star FC lawan First Five FT pada pukul 7 malam dan kemudiannya Street United FT lawan BIO FT pada pukul 9malam.

Empat perlawanan disambung pada Ahad, 14 Ogos bermula dengan PBDB FT lawan Shah United FC pada pukul 2 petang, MS ABDB lawan Rizfiz FT pada pukul 4 petang, NFT lawan Kota Junior pada pukul 7 malam dan Street United FT lawan Arbisyam FC pada pukul 9 malam.