Arbisyam FC juara Futsal Piala Keputeraan

Arbisyam FC juara Futsal Piala Keputeraan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – Arbisyam FC berjaya mengekalkan Piala Pusingan Kejohanan Futsal Piala Keputeraan yang dimenanginya dua tahun lalu selepas penjaga gawangnya, Naqiuddin bin Zakaria menyelamatkan tendangan penalti kelapan JS FT dan kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti kelapan Arbisyam FC.

Perlawanan akhir di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu tamat tanpa jaringan, menyebabkan perlawanan perlu ditentukan melalui sepakan penalti yang akhirnya berkesudahan 7-6 memihak kepada Arbisyam FC.

Arbisyam FC hanya terlepas tendangan pertamanya, manakala JS FT gagal pada tendangan kedua dan kelapannya untuk memberikan gelaran juara Kejohanan Futsal Piala Keputeraan Yang Ke-70 Tahun, 2016 kepada Arbisyam FC.

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Awang Abdul Mutalib ketika menyerahkan Piala Pusingan Futsal Keputeraan kepada Ketua Pasukan Arbisyam FC.
Awang Abdul Mutalib ketika menyerahkan Piala Pusingan Futsal Keputeraan kepada Ketua Pasukan Arbisyam FC.

Selaku juara, Arbisyam FC menerima piala pusingan, piala juara, pingat emas dan wang tunai $1500, sementara JS FT sebagai naib juara mendapat piala naib juara, pingat perak dan wang tunai $1000.

Dua pasukan yang terkandas di separuh akhir iaitu Red Butterfly dan Waza U19 masing-masing berpuas hati memenangi tempat ketiga bersama dan membawa pulang piala tempat ketiga, pingat gangsa dan wang tunai $300.

Pemain Red Butterfly, Mohd Zulkhairi bin Mohd Salleh pula diumumkan selaku penerima Anugerah Penjaring Terbanyak dengan ledakan tujuh gol, sementara pemain JS FT, Shahrin bin Momin menerima Anugerah Pemain Terbaik. Kedua-dua mereka masing-masing telah menerima hadiah berupa piala dan wang tunai $50.