Arbisyam FC rampas gangsa MS ABDB

Arbisyam FC rampas gangsa MS ABDB

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Arbisyam FC merampas pingat gangsa dari genggaman MS ABDB apabila mencatat kemenangan 10-1 ke atas First Five FT dalam perlawanan terakhirnya musim ini malam tadi.

Mohd Rifdi muncul selaku wira Arbisyam FC ketika melakar dua gol pantas hanya dalam beberapa saat di antara keduanya pada minit ke-37 setelah Arbisyam FC buntu mendapatkan gol penting itu semasa jaringan seolah-olah terhenti pada 8-1 sedari minit ke-29.

Pada aksi di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, Arbisyam FC mendahului 4-0 pada babak pertama hasil jaringan Mohd Hamiduddin pada minit ke-5, Khairulazim pada minit ke-13 dan dua jaringan Nassaruddin pada minit ke-17 dan ke-19.

Babak kedua bermula dengan Mohd Radhi meledakkan dua gol peribadi pada minit ke-22 dan ke-23 sebelum ditambah Mohd Azizul Syafee pada minit ke-25. Tetapi Mohd Khairul Huda merubah kedudukan menjadi 1-7 beberapa saat kemudian dalam serangan balas pantas First Five FT.

Walaubagaimanapun jaringan itu tidak mematahkan semangat Arbisyam FC bahkan mempertingkat semangat mereka sehingga berjaya menghasilkan tiga lagi gol menerusi Mohd Nurizzat pada minit ke-29 dan dua gol Mohd Rifdi pada minit ke-37.

Pergelutan dalam petak First Five FT (hitam). Arbisyam FC menang 10-1 bagi memastikan gangsa menjadi miliknya.
Pergelutan dalam petak First Five FT (hitam). Arbisyam FC menang 10-1 bagi memastikan gangsa menjadi miliknya.

Arbisyam memang perlu menang untuk menyamakan kutipan matanya dengan MS ABDB yang lebih awal menamatkan kempennya di sebelah petang kelmarin dengan kemenangan 10-1 ke atas Pega Star FC bagi mengumpul 21 mata, 45 jaringan dan 28 bolos berbanding 18 mata, 35 jaringan & 21 bolos yang dikumpul Arbisyam FC.

Kemenangan 10-1 malam tadi membolehkannya mengumpul 21 mata, 45 jaringan dan 22 bolos, catatan lebih baik dari segi bolos berbanding MS ABDB tatkala kedua-dua pasukan terikat 21 mata dan 45 jaringan sama, sekaligus membuatkan MS ABDB berputih mata mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya musim lalu.

Dalam perlawanan awal malam tadi, pertemuan dua pasukan di tempat kelima dan keenam iaitu PBDB FT dan Rizfiz FT ternyata memihak PBDB FT dengan jaringan 5-3 sekaligus mengesahkan tempat kelima menjadi miliknya dengan 18 mata sementara Rizfiz FT dengan 15 mata perlu berpuas hati menduduki tempat keenam.

Kini Liga Super Futsal Takaful Brunei 2016 hanya tinggal satu perlawanan saja lagi iaitu di antara dua pasukan teratas, Kota Junior lawan Shah United FC, yang pasti berlangsung sengit.

Kota Junior hanya perlu seri atau sekurangnya-kurangnya tidak kalah besar iaitu tidak melebihi aggregat 18 gol untuknya sah mempertahankan kejuaraan iaitu tidak kalah 0-19, 1-20 ataupun 2-21 dan seterusnya.

Perlawanan penentuan juara itu dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 3 September ini di Dewan Serbaguna, KSNHB bermula pukul 8:00 malam. Orang ramai adalah dialu-alukan hadir untuk menyaksikan perlawanan hebat itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA