Arbisyam kenduri gol

Arbisyam kenduri gol

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Arbisyam FC kini hanya perlu menunggu keputusan perlawanan Shah United FC dengan MS ABDB 2 Jun nanti sebelum mengetahui kedudukannya dalam Liga Futsal Brunei (BFL) 2015 selepas menutup tirai kempennya tahun ini dengan kemenangan 15-1 ke atas Silveredz FT malam tadi.

Pada perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu, Md Nasruddin yang menjaringkan enam gol malam tadi mula menggegar gawang Silveredz pada minit kelapan.

Md Nasruddin menjaringkan gol kedua empat minit kemudian, disusuli jaringan Md Azri pada minit ke-15 dan Shahaminor Muqsith pada minit ke-17 untuk mendahului 4-0.

Ahmad Abdul Hafiz meledakkan gol tunggal Silveredz pada minit ke-18 untuk, namun keputusan muktamad separuh masa pertama adalah 5-1 selepas Syazwan sempat menyumbat jaringan pada minit ke-20.

Empat jaringan menyusul pada 10 minit pertama babak kedua bermula dengan jaringan pada minit ke-24 Md Rifdi, disusuli hatrik Md Nasruddin seminit kemudian, gol keempatnya pada minit ke-27 dan kelima pada minit ke-30 untuk membawa Arbisyam mendahului 9-1.

Arbisyam FC menang 15-1 ke atas Silveredz pada perlawanan terakhir BFL 2015 semalam.
Arbisyam FC menang 15-1 ke atas Silveredz pada perlawanan terakhir BFL 2015 semalam.

Md Rifdi menjadikan kedudukan 10-1 pada minit ke-32 sebelum mencipta hatrik dua minit kemudian dan gol keempatnya pada minit ke-36 bagi menambah pendahuluan pasukan kepada 12-1.

Syazwan menyumbangkan gol keduanya pada minit ke-37, kemudian giliran ketua pasukan, Abdul Mansyor pula mencetak namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-38, disusuli jaringan penutup Md Nasruddin untuk gol keenamnya malam tadi untuk selesai 15-1. Menerusi kemenangan itu, Arbisyam mengumpul 25 mata, hanya satu mata di atas Shah United dan MS ABDB, yang akan bertemu antara satu sama lain pada 2 Jun nanti sebagai perlawanan terakhir BFL2015 masing-masing.

Dengan tambahan 15 jaringan itu, Arbisyam kini mengumpul 54 jaringan, yang ternyata belum cukup menyaingi 55 jaringan MS ABDB dan 67 gol Shah United, jika kedua-dua pasukan itu seri 2 Jun nanti.

Jika seri, ketiga-tiga pasukan itu akan sama-sama mengumpul 25 mata, maka jaringan akan menjadi penentu kedudukan. Shah United pasti akan menduduki tempat kedua, MS ABDB ketiga dan Arbisyam keempat.

ARTIKEL YANG SAMA