ARDEX-16 bermula

ARDEX-16 bermula

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Latihan Simulasi Respons Kecemasan Bencana Serantau ASEAN 2016 (ARDEX-16) bermula hari ini dengan majlis perasmiannya yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Hadir di majlis berkenaan untuk merasmikan bersama ARDEX-16 ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Minh.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan Dalam Pengurusan Bencana (Pusat AHA), Said Faisal dalam kata alu-aluannya di majlis itu menjelaskan, ARDEX-16 bermatlamat untuk berlatih, menilai dan mengkaji semula ASEAN-Standard Operating Procedure for Regional Standby Arrangements and Coordination of Joint Disaster Relief and Emergency Response Operations (ASEAN-SASOP) dalam memudahkan lagi kerjasama yang erat dan efektif di antara negara-negara anggota ASEAN dalam semangat Satu ASEAN Satu Respons serta di antara ASEAN dengan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang relevan dan organisasi antarabangsa dalam pengurusan bencana.

Menurut beliau, Pusat AHA yakin latihan ARDEX 2016 akan memberikan manfaat kepada ASEAN dan negara-negara anggotanya yang mana ia akan meningkatkan lagi kerjasama dan koordinasi serantau dalam operasi bantuan kecemasan bencana serta untuk memudahkan kefahaman di antara satu sama yang lain.

Beliau berkata lagi, latihan simulasi ARDEX membina dan mengukuhkan lagi semangat setia kawan di antara negara anggota ASEAN yang amat mustahak apabila masyarakat dari pelbagai negara di rantau ini harus bekerjasama untuk menangani kejadian bencana.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa memukul gong bagi perasmian ARDEX-16.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa memukul gong bagi perasmian ARDEX-16.
Setiausaha Agung ASEAN ketika memukul gong bagi merasmikan ARDEX-16.
Setiausaha Agung ASEAN ketika memukul gong bagi merasmikan ARDEX-16.

ARDEX-16 merupakan yang keenam diadakan sejak dianjurkan buat kali pertama pada 2005, yang mana ARDEX-16 disertai oleh lebih daripada 150 orang peserta dari dalam dan luar negara termasuk negara-negara anggota ASEAN, badan-badan serantau dan antarabangsa serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

ARDEX-16 dianjurkan bersama oleh Negara Brunei Darussalam melalui Pusat AHA yang akan berlangsung sehingga 1 Disember di Pusat Persidangan Antarabangsa dan Dewan Serba Guna, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Berakas.

Ia merupakan latihan simulasi respons bencana serantau yang bertujuan untuk menguji cuba mekanisme dan tindakan bersepadu ASEAN dalam menangani bencana selaras dengan ASEAN SASOP.

ARDEX-16 juga akan menguji untuk kali pertamanya strategi Satu ASEAN Satu Respons, Pelan Respons Bencana Bersama ASEAN, Bab 6 bagi ASEAN SASOP mengenai fasilitasi dan penggunaan keupayaan dan aset ketenteraan serta peranan Setiausaha Agung ASEAN sebagai Penyelaras Bantuan Kemanusiaan ASEAN.

Latihan itu juga akan menguji cuba keupayaan dan kapasiti agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dalam menangani bencana.

ARTIKEL YANG SAMA