ARDEX akan uji SOP kita

ARDEX akan uji SOP kita

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – ASEAN adalah salah sebuah rantau yang sangat terdedah kepada bencana di dunia, dan bencana-bencana yang melanda rantau ini semakin besar dari segi skala, sekali gus tindak balas juga menjadi semakin kompleks.

Oleh yang demikian, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam berkata, tindak balas bencana bukanlah tanggungjawab bagi satu atau dua pihak sahaja bahkan menjadi tanggungjawab bersama daripada kalangan orang awam, tentera, organisasi antarabangsa, NGO dan rakan-rakan kongsi bukan tradisional (non-traditional partners) yang lain.

“Di rantau kita, tindak balas bencana sentiasa diusahakan oleh pelbagai pihak dan AHA Centre adalah pusat dalam menyelaras tindak balas ini secara kolektif seperti yang dibayangkan dalam One ASEAN One Response kita,” ujar beliau lagi semasa menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Pertama Pasukan Perancang Latihan bagi ARDEX 2016 di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Ujar beliau, ia merupakan satu penghormatan bagi Brunei Darussalam menganjurkan latihan simulasi operasi bencana berskala besar diperingkat ASEAN (ARDEX) pada bulan Oktober ini.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana visi ‘One ASEAN One Response’ yang telah disokong oleh menteri-menteri ASEAN ketika Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana ke-2 pada tahun 2014, akan diuji buat kali pertama semasa ARDEX yang akan berlangsung di Brunei nanti.

Haji Mohd ‘Abdoh ketika mempengerusikan mesyuarat pertama ARDEX.
Haji Mohd ‘Abdoh ketika mempengerusikan mesyuarat pertama ARDEX.

Mengulas lebih lanjut mengenai ARDEX, beliau menyatakan bahawa ARDEX pada tahun ini adalah sangat penting bagi mereka kerana ini adalah pertama kali ARDEX akan dijalankan selepas pelancaran Program Kerja AADMER 2016-2020 di Persidangan Perkongsian AADMER ke-3 yang berlangsung di Semarang Indonesia.

“Dalam latihan ARDEX lalu, menguji cuba, mengamalkan, mengkaji ASEAN SASOP merupakan matlamat utama kita. Kita akan terus berbuat demikian dalam ARDEX-16 dan di samping itu, kita juga akan menguji protokol penyelarasan tindak balas baru dan garis panduan yang digariskan dalam Priority Programme 5 seperti Pelan Tindakan Bersama Bencana ASEAN (AJDRP) dan Pusat Penyelarasan Operasi Bersama bagi ASEAN (JOCCA) serta penyelarasan Tentera Sivil (Civil-Military).”

Mekanisme ini, tambahnya, adalah penting dalam memudahkan kerjasama kolektif dan berkesan dalam kalangan kita.

Beliau menjelaskan lagi, selain menguji protokol dan garis panduan serantau, ARDEX juga merupakan satu peluang yang baik bagi Brunei untuk menguji keupayaan dan kemampuan Brunei dalam bertindak balas kepada senario kes terburuk.

“Kita akan dapat menguji dan mengharmonikan SOP kebangsaan kita dan kesalingfungsiannya serta mengenal pasti jurang untuk memastikan penyelarasan yang lebih baik bagi memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan antarabangsa.

“Dalam masa yang sama, dengan menganjurkan ARDEX di Negara Brunei Darussalam, ia juga membolehkan negara-negara anggota ASEAN, AHA Centre serta komuniti tindak balas antarabangsa yang lain untuk membiasakan diri dan berinteraksi dengan sistem tindak balas bencana Brunei Darussalam bagi memastikan bantuan segera kepada mereka yang benar-benar memerlukannya iaitu masyarakat,” ujar Haji Mohd ‘Abdoh di akhir ucapannya.

ARTIKEL YANG SAMA