Arena calon utama ganti Klinsmann

Arena calon utama ganti Klinsmann

CHICAGO, 22 Nov – Jurulatih yang pernah meraih lima kejuaraan Major League Soccer (MLS) dan kini bersama LA Galaxy, Bruce Arena (gambar) dikatakan menjadi calon utama bagi menggantikan Jurgen Klinsmann yang dipecat.

Bruce membawa pasukan Amerika Syarikat (AS) mara ke suku akhir Piala Dunia 2002, namun tersingkir di peringkat kumpulan pada kempen Piala Dunia 2006.

Awal pagi tadi, Klinsmann yang juga bekas penyerang Jerman dipecat selaku jurulatih AS selepas tewas dua aksi berturut-turut dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

Presiden Persekutuan Bolasepak AS, Sunil Gulati mengumumkan pemecatan itu tanpa menamakan sebarang pengganti dengan pasukan itu tidak akan mengharungi sebarang perlawanan kelayakan sehingga Mac nanti.

“Kami terpaksa mengambil keputusan yang sukar untuk melepaskan Jurgen Klinsmann,” kata Gulati dalam satu kenyataannya, hari ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Jurgen atas kerja keras dan komitmennya sepanjang tempoh lima tahun ini. Dia memikul tanggungjawab yang besar dalam merangka program dan meraih pencapaian yang boleh dibanggakan.”

Klinsmann merakam 55 kemenangan, 16 seri dan 27 kekalahan sejak menjadi pengendali AS bermula 29 Julai 2009 apabila Gulati menamakannya selaku pengganti Bob Bradley yang dipecat sebelum itu.

Awal bulan lalu, skuad AS bergelut pada pusingan terakhir kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Amerika Utara (CONCACAF) apabila tewas 2-1 di tangan Mexico dan 4-0 di tangan Costa Rica.

Di bawah Klinsmann pada Piala Dunia 2014, AS menyamai pencapaian pada kempen 2010 apabila mara ke kelompok 16 terbaik. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA