Argentina benam Jamaica

Argentina benam Jamaica

VINA DEL MAR, 21 Jun (Reuters) – Jaringan awal Gonzalo Higuain cukup untuk membolehkan Argentina catat kemenangan 1-0 ke atas Jamaica dalam pusingan awal Copa America, sebentar tadi dan sekali gus layak ke suku akhir sebagai juara Kumpulan B.

Higuain meledak pada minit ke-11 selepas menerima hantaran daripada Angel di Maria buat menewaskan penjaga gawang, Dwayne Miller.

Jaringan pendahuluan itu dilihat bakal meletakkan Argentina dalam suasana pesta gol selepas itu, namun di sebalik penguasaan sepanjang saingan mereka buntu untuk membelasah Jamaica tatkala Liones Messi meraikan aksi ke-100 buat dirinya.

Pasukan bimbingan Gerardo Martino bakal mengetahui lawan mereka pada peringkat suku akhir nanti pada hari ini, manakala Paraguay yang terikat 1-1 dengan Uruguay sebelum itu, menghuni tangga kedua dalam Kumpulan B.

Kemenangan Argentina itu juga sekali gus meletakkan Uruguay di tempat ketiga kumpulan berkenaan, dan bakal bertemu tuan rumah, Chile dalam aksi suku akhir pada Rabu ini.

Higuain meraikan gol semasa menentang Jamaica di Vina del Mar, semalam. – AFP
Higuain meraikan gol semasa menentang Jamaica di Vina del Mar, semalam. – AFP

Tetapi ia merupakan satu lagi prestasi suam-suam kuku daripada finalis Piala Dunia 2014 yang berhempas pulas menentang pasukan ranking ke-65 di dunia dengan jurulatih Argentina Gerardo Martino menyalahkan keletihan.

“Separuh pertama kami OK. Kami bermain bagus, menjaringkan gol dengan cepat dan mencipta lima atau enam peluang untuk menjaringkan gol,” kata Martino.

“Pada akhir perlawanan walaupun agak membosankan, kami melakukan apa yang perlu. Secara fizikal kami sedikit terkial-kial pada babak kedua.”

Argentina kini berehat hampir seminggu sebelum suku akhir menentang sama ada Ecuador atau pasukan tempat ketiga dalam Kumpulan C.

Jamaica pula tersingkir selepas kalah dalam ketiga-tiga perlawanan sebelum ini dengan keputusan 1-0 setiap satu.

ARTIKEL YANG SAMA