Argentina bimbang masa depan Messi

Argentina bimbang masa depan Messi

BUENOS AIRES, 8 Julai (AFP) – Argentina kini terhimpit dengan debat mengenai kedudukan bintang terkenal Lionel Messi, yang begitu kecewa dengan kekalahan di final Copa America pada Sabtu lalu.

Sejumlah pemerhati di negara kelahiran pemain itu, menyifatkan kritikan yang dilontarkan ke atas Messi itu selepas kegagalan berkenaan, mungkin memaksa dia meninggalkan pasukan kebangsaan.

Pemain genius bola sepak berusia 28 tahun itu meninggalkan padang dalam keadaan sugul selepas Argentina kalah 1-4 kepada Chile, menerusi sepakan penentuan di Santiago.

Suasana itu seperti itu mengingatkan kepada aksi final Piala Dunia tahun lalu, apabila Jerman menewaskan Argentina dengan cara sama selepas masa tambahan yang menyaksikan ‘Leo’ menangis.

Messi pertama kali merasai kekalahan dalam kejohanan utama pada 2007 ketika Argentina tewas 3-0 kepada Brazil pada final Copa America. Pada Isnin lalu, Messi membuat kenyataan menerusi akaun facebook miliknya.

Messi terjatuh dalam aksi final Copa America menentang Chile 5 Julai lalu. – Reuters
Messi terjatuh dalam aksi final Copa America menentang Chile 5 Julai lalu. – Reuters

“Tiada kesakitan paling dirasai dalam bola sepak kecuali tewas di final. Tapi saya tidak mahu terus melaluinya dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa dan terus menyokong kami sepanjang saingan sengit itu,” katanya.

Di sebalik kejayaannya di Barcelona, Messi kini melalui saat sukar berikutan negara itu tidak pernah memenangi kejuaraan utama sejak 22 tahun lalu.

Media di Sepanyol melaporkan, Mesi menolak anugerah pemain terbaik. Piala itu diketepikan sebelum majlis penyampaian hadiah disempurnakan sejurus selepas final berakhir.

Berikutan kegagalan itu, Messi dan rakan sepasukannya dikritik teruk oleh media negara mereka. Ahli keluarga mereka juga diejek oleh penyokong Chile pada aksi final berkenaan, menurut laporan media Argentina.

Rancangan bual bicara televisyen turut memberi fokus kepada kegagalan Messi dan pasukan kebangsaan. Ada yang membangkitkan kenapa pemain itu tidak menyerlah berbanding ketika bersama Barcelona.

Messi sudah pun melebihi catatan jumlah jaringan berbanding legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona.

Bagaimanapun dia tidak pernah memenangi Piala Dunia seperti dilakukan Maradona pada 1986. Peluang terakhir Messi adalah Piala Dunia di Rusia pada 2018. Ketika itu dia sudah pun berusia 31 tahun dan mungkin juga peluang terakhirnya.

ARTIKEL YANG SAMA