Argentina lancar satelit kedua

Argentina lancar satelit kedua

BUENOS AIRES, 2 Okt (Reuters) – Dengan pelancaran satelit telekomunikasi keduanya yang dibuat di Argentina baru-baru ini, Presiden Cristina Fernandez meraikan peristiwa bersejarah teknologi negara dan mahu negara Amerika Selatan itu menghasilkan lapan satelit lagi dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Dilancarkan dari Guyana Perancis di atas roket Ariane 5, satelit itu akan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi di kebanyakan kawasan hemisfera barat.

Argentina pada tahun lalu melancarkan satelit pertamanya yang memberikan liputan di seluruh negara.

Satelit geopegun itu mengurangkan kebergantungan Argentina ke atas satelit asing. Pembinaannya menjadi satu sumber kebanggaan negara dan industri yang agak baru untuk negara, yang berharap dapat mengeksport teknologinya.

Kerajaan Fernandez, yang telah menghadapi kekurangan berita baik baru-baru ini disebabkan inflasi digit berganda dan kelembapan ekonomi, telah merai pelancaran di bawah hashtag Twitter #satellitesovereignty.

Penduduk Argentina membuang undi pada 25 Oktober untuk memilih seorang presiden baru. Sementara Fernandez tidak dapat bertanding untuk penggal ketiga berturut-turut, beliau telah menyokong calon Gabernor Wilayah Buenos Aires Daniel Scioli. Ramai warga Argentina menjangka beliau mungkin bertanding sekali lagi pada masa depan.

“Masa depan telah tiba, hari ini kami melihatnya berlepas,” kata Fernnadez dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen baru-baru ini.

“Dan di parlimen kami akan menginstitusikannya.” Fernandez berkata kerajaannya sedang menghantar satu draf undang-undang baru kepada Kongres untuk mempromosi industri satelit di Argentina, berkata ia memerlukan pelaburan bernilai AS$1.201 bilion.

Beliau meramalkan pembinaan lapan lagi satelit dalam tempoh 20 tahun akan datang, ada di antaranya akan dijual di luar negara, menambah Buenos Aires telah melabur sekitar AS$1.05 bilion dalam industri satelit sejak 2003.

ARTIKEL YANG SAMA