Argentina mara ke final

Argentina mara ke final

HOUSTON, 22 Jun (AFP) – Lionel Messi dinobatkan sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Argentina selepas membantu juara Piala Dunia dua kali itu mengetepikan Amerika Syarikat 4-0, pagi tadi sekali gus membawa pasukannya mara ke pentas final Copa America Centenario.

Messi melencongkan bola sepakan percuma menarik pada minit ke-32 untuk muncul penjaring terbanyak Argentina dengan 55 gol tatkala kempen tuan rumah Amerika Syarikat berakhir dengan penuh mengecewakan di depan 70,858 peminat yang membanjiri Stadium NRGHouston.

Pemain lima kali terbaik dunia itu kini sudah menghasilkan lima gol di Copa America tatkala dia menanam impian untuk mengetuai Argentina memburu trofi pertama dalam tempoh 23 tahun.

Bintang sensasi Argentina itu turut mengumpan gol pembukaan Ezequiel Lavezzi dan terbabit dalam gerakan gol ketiga yang dijaringkan Gonzalo Higuain pada minit ke-50.

Messi kemudian membuat hantaran untuk jaringan kedua Higuain empat minit sebelum tamat perlawanan.

Messi yang tampil dengan imej berjambang beraksi dalam perlawanan tersebut. – AFP
Messi yang tampil dengan imej berjambang beraksi dalam perlawanan tersebut. – AFP

pg24_160623_CopaAmericaLogo

Satu permulaan teruk bagi Amerika Syarikat apabila hanya pada minit ke-3 masa perlawanan mereka melepaskan pengawalan bola kepada Messi di pinggir padang.

Kapten Argentina itu secara pantas menemui Lavezzi yang tidak dikawal dan terus menyumbat bola masuk ke gawang AS.

Argentina yang kerap menyerang akhirnya mendapat peluang setengah jam selepas perlawanan berlangsung apabila diberikan sepakan percuma akibat kekasaran Chris Wondolowski terhadap Messi.

Messi tidak mensia-siakan sepakan percuma itu, apabila berjaya membuat jaringan sekali gus memecahkan rekod bagi penjaring terbanyak Argentina untuk membawa pasukannya 2-0 di depan.

Dua gol berikutnya dijaringkan oleh penyerang sensasi Argentina Gonzalo Higuain pada minit ke-50 dan pada minit ke-86 perlawanan.

Argentina kini akan bertemu pemenang perlawanan antara Chile atau Colombia di pentas final yang akan berlangsung di East Rutherford, New Jersey.

Sementara itu, Amerika Syarikat akan bertanding bagi meraih tempat ketiga kejohanan dan menanti pasukan yang tewas pada perlawanan separuh akhir kedua.