Argentina pelawa pelabur teroka sektor infrastruktur

Argentina pelawa pelabur teroka sektor infrastruktur

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Duta Argentina ke Malaysia Manuel Balaguer Salas mempelawa syarikat Malaysia melabur dalam pembangunan infrastruktur Argentina, memandangkan kekuatan syarikat dalam pembinaan infrastruktur bertaraf dunia.

Beliau berkata Kedutaan Argentina di sini menggalakkan syarikat Malaysia terlibat dalam pembangunan infrastruktur negara itu terutamanya jalan raya dan berharap hasrat itu menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

Salas berkata Argentina juga berminat untuk meneroka industri halal Malaysia, terutamanya dalam eksport daging lembu.

“Argentina masih belum mematuhi syarat halal yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia tetapi kami mahu membuat perubahan dan mengeluarkan daging halal bagi pasaran Malaysia.

“Argentina terkenal dengan kualiti daging lembu dan kami merancang mempunyai pusat penyembelihan bagi mengeluarkan daging halal 100 peratus untuk dieksport ke Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Mengenai sambutan ulang tahun ke-50 hubungan Argentina-Malaysia, beliau berkata Argentina berharap dapat meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, sukan dan budaya.

“Pada 1967, Argentina merupakan negara Amerika Latin pertama mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara merdeka. Walaupun kami jauh, hubungan perdagangan dua hala bernilai AS$1.6 bilion dan kita mempunyai prospek pertumbuhan yang baik,” katanya.

Salas berkata Petronas telah berada di Argentina, bekerjasama dengan syarikat milik negara Argentina, Yacimientos Petrolíferos Fiscales dalam membangunkan lapangan minyak dan gas Loma Campana di barat daya Argentina.

Beliau berkata sebuah syarikat Malaysia juga menjalankan resort ski di negara itu. Salas turut mempelawa pelabur Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui di negara itu.

Semasa menyatakan kesediaan Argentina berkongsi kepakaran dalam pelaburan pertanian dan menarik pelabur Malaysia, Salas berkata kira-kira 20 ahli perniagaan Argentina akan melawat Malaysia pada Ogos ini bagi menjelaskan mengenai prospek sektor berkenaan kepada ahli perniagaan Malaysia.– Bernama