Argentina rampas ranking No. 1

Argentina rampas ranking No. 1

LONDON, 10 Julai (AFP) – Argentina merampas takhta No. 1 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun semalam, walaupun kalah kepada Chile pada final Copa America, minggu lalu.

Argentina kalah menerusi penentuan sepakan penalti, Sabtu lalu tetapi skuad bimbingan Gerardo Martino itu naik dua anak tangga untuk merampas kedudukan pendahulu daripada juara Piala Dunia, Jerman.

Kejayaan itu dilakar hanya setahun selepas mereka tumpas kepada Jerman dalam final Piala Dunia di Brazil, tahun lalu.

Chile yang muncul juara Copa America buat kali pertama dalam sejarah naik lapan anak tangga untuk berada di ranking ke-11.

Belgium pula turun satu anak tangga ke kedudukan ketiga dunia, manakala Colombia kekal di tangga keempat.

Selepas mencatat keputusan cemerlang dalam beberapa perlawanan antarabangsa, Wales yang diketuai Gareth Bale mencatat kenaikan yang drastik apabila menghuni tangga ke-10 daripada ranking ke-22.

Itu bermakna, mereka bakal menerima status pilihan dalam undian kelayakan Piala Dunia 2018 yang kan akan diadakan bulan ini.

Kemenangan 1-0 ke atas Belgium dalam kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2016 membolehkan skuad bimbingan Chris Coleman itu mendahului Kumpulan B dengan 14 mata daripada enam perlawanan.