Argentina tarik nafas

Argentina tarik nafas

MONTEVIDEO, 19 Nov (AFP) – Argentina menyalakan semula kempen mereka dalam kelayakan Piala Dunia 2018 apabila melakar kemenangan penting semalam, namun nasib berbeza dialami juara Copa America, Chile apabila tumbang kepada Uruguay.

Juara Piala Dunia dua kali, Argentina yang sekadar mengutip dua mata daripada tiga perlawanan akhirnya meraih kemenangan pertama selepas menumpaskan Colombia 1-0 di Barranquilla, berterima kasih kepada jaringan babak pertama Lucas Biglia.

Argentina akhirnya keluar daripada kedudukan dua tercorot untuk naik ke tangga keenam, namun masih berada di zon bahaya kerana hanya lima pasukan teratas layak ke Piala Dunia 2018 di Rusia.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas Colombia meningkatkan semula keyakinan skuad La Albiceleste, yang sebelum ini mengharungi kempen kurang memberangsangkan selepas kehilangan tiga bintang penyerang, Lionel Messi, Sergio Aguero dan Carlos Tevez akibat kecederaan.

Jaringan Biglia pada minit ke-19 mengurangkan tekanan Argentina selepas pemain tengah Lazio itu menolak bola ke gawang setelah Cristian Zapata gagal menyekat hantaran silang Ezequiel Lavezzi.

Pemain Argentina, Otamendi (depan) dan pemain Colombia, Adrian Ramos bersaing merebut bola dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Barranquilla, Colombia, kelmarin. – AFP
Pemain Argentina, Otamendi (depan) dan pemain Colombia, Adrian Ramos bersaing merebut bola dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Barranquilla, Colombia, kelmarin. – AFP

“Kami berhak menang, ini keputusan yang adil. Malah, kami sepatutnya berupaya menambah jaringan,” kata Martino, yang mengakui berasa amat gembira buat pemainnya.

Di Montevideo, Uruguay menebus dendam atas kekalahan kepada Chile pada suku akhir Copa America dengan melakar kemenangan selesa 3-0.

Kemenangan tersebut meletakkan Uruguay di tangga kedua dalam carta 10 pasukan selepas mengutip sembilan mata daripada empat perlawanan, tiga mata di belakang pendahulu, Ecuador yang mencatat kemenangan keempat berturut-turut dengan menumpaskan Venezuela 3-1, semalam.

Bagaimanapun, semua mata tertumpu kepada pertahanan Chile, Gonzalo Jara dan penyerang Uruguay, Edinson Cavani, dua pemain yang terlibat dalam pergaduhan ketika perlawanan Copa America, Jun lalu.

Dalam perlawanan itu, Cavani dibuang padang selepas menampar muka Jara, yang melakukan provokasi melampau apabila memasukkan jarinya ke punggung penyerang Paris Saint-Germain tersebut. Jara kemudian digantung tiga perlawanan ekoran insiden itu.

Ketua pasukan, Diego Godin meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-23 menerusi sepakan bebas, sebelum dua jaringan pantas pada minit ke-61 dan 65 menerusi Alvaro Pereira serta Martin Caceres melengkapkan kemenangan Uruguay.