Argentina tembak kapal nelayan China

Argentina tembak kapal nelayan China

BUENOS AIRES, 16 Mac (AFP) – Pasukan tentera Argentina melepaskan tembakan ke atas kapal nelayan haram China dan mengakibatkannya karam di lautan Atlantik Selatan selepas kapal itu cuba merempuh kapal pengawal pantai, menurut para pegawai semalam.

Video yang dihantar ke laman sesawang pengawal pantai menunjukkan kapal besar China dalam keadaan senget di laut terbuka ketika diburu.

Mencuri ikan adalah masalah yang tidak berkesudahan di Atlantik dan Lautan Selatan dan kadangkala menyaksikan agensi-agensi penguat kuasa memburu para penceroboh selama berminggu-minggu di lautan, tetapi perkara ini begitu luar biasa bagi insiden seumpama itu berakhir dengan kapal dihantar ke dasar laut.

Kejadian itu berlaku ketika China mengembangkan armada menangkap ikan jarak jauh untuk memenuhi permintaan meningkat bagi makanan laut, dengan kementerian luar Beijing melahirkan ‘kebimbangan serius’ berhubung kejadian itu.

Pengawal pantai berkata Lu Yan Yuan Yu 010 menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan Puerto Madryn, 1,300 kilometer selatan Buenos Aires semalam, di dalam zon ekonomi eksklusif Argentina.

Bot nelayan China, Lu Yan Yuan Yu 010 dikaramkan oleh kapal pengawal pantai GC-28 Prefecto Derbes ketika ia menangkap ikan secara haram di perairan luar Puerto Madryn, wilayah Argentina kira-kira 1,300 km selatan Buenos Aires. – AFP
Bot nelayan China, Lu Yan Yuan Yu 010 dikaramkan oleh kapal pengawal pantai GC-28 Prefecto Derbes ketika ia menangkap ikan secara haram di perairan luar Puerto Madryn, wilayah Argentina kira-kira 1,300 km selatan Buenos Aires. – AFP

Kapal itu menolak permintaan dalam bahasa Sepanyol dan Inggeris untuk menaikinya, dengan memadamkan lampunya dan cuba lari ke arah perairan antarabangsa, tambah kenyataan itu lagi.

“Untuk melindungi sumber ikan kami dan memandangkan keengganan kapal China itu untuk dinaiki, tembakan amaran telah dilepaskan,” menurutnya.

“Kapal itu telah bergerak untuk bertembung dengan peronda pengawal pantai. Dengan itu arahan telah diberikan melepaskan tembakan ke arah berbagai-bagai bahagian kapal itu, yang mengakibatkan ia mengalami kerosakan.”

Kapten kapal itu dijangka diserahkan kepada polis dan dihadapkan ke mahkamah.

Kementerian luar negeri China mengatakan dalam laman webnya ia telah menerima maklumat yang 32 kelasi China di dalamnya telah diselamatkan tanpa mengalami kecederaan, empat oleh pengawal pantai dan yang lain oleh bot-bot China berhampiran.