Arkeologi Berlin temui serpihan masjid Perang Dunia Pertama

Arkeologi Berlin temui serpihan masjid Perang Dunia Pertama

POTSDAM, Jerman, 8 Sept – Ahli arkeologi dari Free University, Berlin telah menemui serpihan sebuah masjid di selatan bandar itu yang disiapkan semasa Perang Dunia Pertama dan diruntuhkan 10 tahun kemudian. Ia dikatakan masjid pertama Jerman.

Pasukan penggali menemui wayar tegangan dan kancing besi dari kubah kayu masjid berkenaan, berserta dengan serpihan kaca. Keseluruhan struktur itu diperbuat daripada kayu, dengan menaranya setinggi 23 meter.

Dengan sisa-sisa struktur yang tinggal itu, tapak itu kemudian digunakan untuk tujuan ketenteraan oleh Nazi dan seterusnya Red Army, menurut universiti berkenaan.

Masjid itu dirasmikan di bandar kecil Wuensdorf, kira-kira 40km selatan Berlin pada Julai 1915. Ia dibina untuk menyediakan tempat khusus spiritual bagi banduan perang Muslim daripada konflik tersebut dan diruntuhkan semula pada 1925-26.

Semasa perang, Wuensdorf merupakan rumah kepada sekitar 4,000 orang POW Muslim dari India, Maghribi, Tunisia dan Algeria.

Kawasan itu akan digunakan nanti bagi menyimpan kontena-kontena yang akan menempatkan ribuan pelarian yang membanjiri masuk ke Jerman – kebanyakannya orang Islam. Pasukan arkeologi berhasrat untuk mendokumenkan tinggalan dari masa lampau itu. – dpa