Arsenal bakal berdepan cabaran hebat

Arsenal bakal berdepan cabaran hebat

LONDON, 4 Okt (AFP) – Pengurus Arsenal yang semakin tertekan, Arsene Wenger perlu mencipta keputusan positif apabila anak buahnya melayan kunjungan pendahulu Liga Perdana, Manchester United di Stadium Emirates malam ini.

Arsenal yang menduduki tangga keempat, hanya ketinggalan tiga mata di belakang United tetapi perancangan Wenger seakan tidak menjadi selepas kekalahan 3-2 di tangan Olympiakos pada saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Keputusan itu membuatkan Arsenal semakin terhimpit dan berkemungkinan tersingkir dari saingan peringkat kumpulan buat kali pertama sejak 1999. Paling teruk dihentam ialah Wenger apabila beliau menurunkan penjaga gol kedua, David Ospina yang melakukan kesilapan besar sekali gus mengundang kekalahan ketika bertemu Olympiakos.

Andai tewas kepada United malam ini, ia akan hanya menambah beban buat Wenger tambahan pula peminat setia sudah hilang sabar apabila terpaksa menunggu selama 11 tahun untuk melihat Gunners menjulang gelaran Liga Perdana.

Arsene Wenger ketika sesi latihan bersama pasukannya. – AFP
Arsene Wenger ketika sesi latihan bersama pasukannya. – AFP

Begitupun, Wenger menjadikan kejayaan anak buahnya di Piala FA selain kejayaan memusnahkan rekod tanpa kalah Leicester City minggu lalu sebagai bukti bahawa mereka yakin dapat mengalahkan United buat kali pertama sejak Mei 2011.

“Pertemuan kali ini agak istimewa kerana sebelum ini, United melawan kami dalam keadaan mereka mahu bergelar pendahulu,” kata pengendali Perancis itu yang pernah bermusuh dengan bekas jurulatih United Alex Ferguson antara 1997 dan 2005.

“Malam esok (ini) ia akan membawa makna lebih besar kerana kami hanya dipisahkan dengan tiga mata dan kami bermain di tempat sendiri.

“Kami didorong kemenangan besar ke atas Leicester dan kami mahu meneruskan catatan sedemikian. Kami adalah satu-satunya pasukan yang mengalahkan Leicester, justeru saya tidak nampak sebab mengapa kami tidak boleh menewaskan Manchester United.”

ARTIKEL YANG SAMA