Arsenal kembali kejar peluang raih kejuaraan EPL

Arsenal kembali kejar peluang raih kejuaraan EPL

LONDON, 3 April (AFP) – Arsenal terus menghidupkan peluang menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil kemenangan 4-0 ke atas Watford di Emirates yang dianggap sebagai ‘membalas dendam’ terhadap kekalahan dalam kempen Piala FA, bulan lalu.

Skuad bimbingan Arsene Wenger yang juga penyandang juara Piala FA, disingkirkan Watford yang dibimbing Quique Sanchez Flores, bulan lalu – disifatkan menjadi antara babak awal kemerosotan Arsenal.

Sejurus wisel ditiupkan, Arsenal jelas tidak mahu berlengah dan meledak gol seawal minit keempat perlawanan menerusi Alexis Sanchez diikuti jaringan Alex Iwobi pada minit ke-38.

Hector Bellerin kemudian menambah derita Watford apabila meledak gol pada awal babak kedua sebelum pemain England, Theo Walcott menjaringkan gol keempat di minit ke-90.

Wenger sebelum perlawanan menentang Watford menegaskan Arsenal yang ketika ini menghuni tangga ketiga liga masih berpeluang untuk menjulang trofi EPL jika mereka memenangi kelapan-lapan baki perlawanan.

Iwobi meraikan jaringan bersama rakannya, Sanchez selepas meledakkan gol kedua buat Arsenal pada perlawanan menentang Watford pagi tadi. – Reuters
Iwobi meraikan jaringan bersama rakannya, Sanchez selepas meledakkan gol kedua buat Arsenal pada perlawanan menentang Watford pagi tadi. – Reuters

Kemenangan merapatkan jurang Arsenal kepada pendahulu liga, Leicester City yang dijadual bermain pada malam ini kepada lapan mata.

Bintang The Gunners, Mesut Ozil sebelum ini berkata kelab itu ‘merosakkan’ sendiri peluang terbaik mereka untuk menjulang kejuaraan liga sekali pun memulakan tahun 2016 sebagai calon pilihan.

Ia diakui Wenger namun menegaskan ia bukan masanya untuk pemainnya memikirkan perkara itu selain fokus kepada baki aksi perlawanan. Leicester yang dibimbing Claudio Ranieri dijadual berdepan Southampton.

Wenger yang anak buahnya berbaki tujuh perlawanan musim ini berkata, “Kami mahu fokus dengan cara kami bermain dan memastikan kualiti yang sangat tinggi. Selepas itu, kita lihat di mana kedudukan kami, kami akan berjuang hingga hujung saingan.

“Satu-satunya cara kami boleh mencapai matlamat kami adalah dengan bermain berdasarkan kualiti pasukan kami. Ini berdasarkan pergerakan dan kemahiran teknikal pada tahap tertinggi.

“Kami akan fokus untuk perlawanan seterusnya. Kami sedar apa yang diperlukan dan apa yang diperlukan untuk memastikan kualiti kami di tahap tertinggi.

“Kami akan berkunjung ke West Ham minggu depan, ia tempat yang sentiasa sukar, jadi kami akan melakukan persiapan,” katanya.

Kualiti permainan yang tinggi ditunjukkan Arsenal membolehkan mereka membalas dendam di atas kekalahan di tangan Watfrod pada saingan Piala FA, bulan lalu apabila tampil dengan prestasi yang sama ketika menewaskan Everton.

Kemenangan 4-0 ke atas Watford, awal pagi tadi adalah yang kedua selepas menewaskan Everton sebelum rehat aksi antarabangsa sekali gus terus memberi tekanan kepada Leicester yang akan melayan kunjungan Southampton, malam ini.

Ia juga membolehkan Arsenal merapatkan jurang kepada empat mata di belakang Tottenham Hotspur yang sekadar seri 1-1 dengan Liverpool.

ARTIKEL YANG SAMA