Arsenal mahu rembat Cavani

Arsenal mahu rembat Cavani

LONDON, 25 Ogos (Agensi) – Kelab Inggeris, Arsenal mengalih perhatian untuk mendapatkan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani selepas peluang untuk mendapatkan Karim Benzema, seakan sudah tertutup.

The Gunners mula mencari alternatif kepada penyerang Perancis, Benzema selepas Real Madrid menegaskan pemain itu tidak akan dijual.

Perbincangan untuk mendapatkan Cavani, 28, sudah dibawa di peringkat pengurusan tertinggi Arsenal dengan pengurus, Arsene Wenger dikatakan terdesak untuk mendapatkan seorang penyerang sebelum jendela perpindahan ditutup.

Hanya Cavani dianggap memiliki kualiti kelas dunia yang diharapkan Gunners namun sama ada PSG mahu menjualnya masih belum dapat dipastikan.

Edinson Cavani yang kini dimahukan oleh Arsenal. – AFP
Edinson Cavani yang kini dimahukan oleh Arsenal. – AFP

Bagaimanapun, ia tidak menghalang Arsenal untuk mendapatkan pemain yang pada mulanya ingin dipancing pada Januari 2013.

Cavani yang ketika itu beraksi bersama Napoli memilih PSG yang menawarkan nilai perpindahan STG55 juta.

Sepanjang bersama kelab gergasi Perancis itu, Cavani sudah meledak 54 gol daripada 79 penampilan.