Arsenal melepaskan peluang

Arsenal melepaskan peluang

LONDON, 24 Nov – Arsenal melepaskan peluang terbaik untuk mengungguli Kumpulan A dalam saingan Liga Juara-Juara selepas Paris Saint-Germain (PSG) bangkit menyamakan kedudukan bagi keputusan seri 2-2 di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Arsene Wenger di landasan tepat untuk menamatkan saingan kumpulan sebagai juara dan mendapat laluan mudah di pusingan 16 terbaik selepas mendahului perlawanan 2-1 pada babak kedua.

Selepas ketinggalan dengan gol pembukaan pemain PGS, Edinson Cavani di babak pertama, The Gunners menyamakan kedudukan menerusi Olivier Giroud sebelum waktu rehat dan kemudiannya mendahului pada babak kedua hasil gol sendiri Marco Verratti.

Bagaimanapun, Lucas menyamakan kedudukan pada lewat babak perlawanan sekali gus menyaksikan Arsenal dan PSG yang sudah layak ke pusingan kalah mati perlu menunggu sehingga aksi terakhir bagi menentukan gelaran juara kumpulan.

Arsenal yang akan berkunjung ke Basel untuk aksi terakhir, 6 Disember depan menghuni tangga kedua kumpulan, berkongsi mata bersama PSG yang akan menentang Ludogorets.

Arsenal terlepas peluang untuk menjuarai Kumpulan A setelah seri 2-2 menentang PSG. – AFP
Arsenal terlepas peluang untuk menjuarai Kumpulan A setelah seri 2-2 menentang PSG. – AFP

Namun, PSG mempunyai sedikit kelebihan selain nasib kini di tangan mereka sendiri kerana mereka memiliki rekod pertemuan yang lebih baik ke atas Arsenal.

“Kami bermain dengan baik tetapi tidak boleh mendominasi perlawanan. Apa yang saya bimbangkan adalah selepas kami mendahului 2-1 tetapi kami membenarkan mereka bangkit.

“Ia sukar untuk memahami apabila kami mudah dibolosi dari sudut penjuru. Kami kurang kreativiti tetapi kami berjaya mengumpul satu mata, ia mungkin tidak cukup tetapi apa juga boleh berlaku,” kata Wenger.

Sementara itu, jurulatih PSG, Unai Emery enggan anak buahnya terlalu selesa biarpun kini berada di tangga teratas kumpulan.

“Kami masih ada baki perlawanan yang perlu diharungi tetapi kami kini di tangga teratas dan sudah pasti ia penting. Saya fikir kami berhak dengan keputusan seri ini,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA