Arsenal menang hasil gol ihsan

Arsenal menang hasil gol ihsan

LONDON, 30 Ogos (AFP) – Gol sendiri Fabricio Coloccini membolehkan Arsenal meraih kemenangan keduanya dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini setelah menewaskan Newcastle, yang bermain dengan 10 pemain, 1-0 semalam.

Dengan keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Liverpool Isnin lalu, Arsenal sekadar mencatat satu kemenangan sepanjang tiga perlawanan pembukaan, sekali gus membuatkan keupayaan skuad Arsene Wenger untuk memburu kejuaraan diragukan.

Skuad The Gunners turun dengan barisan pemain terbaiknya dalam perlawanan itu, malah mereka turut dibantu oleh penyerang Newcastle, Aleksandar Mitrovic yang dibuang padang kerana memijak kaki pemain tengah Arsenal, Francis Coquelin.

Coloccini (kiri) melihat dengan kecewa bola yang masuk ke jaring selepas cuba menampan sepakan pemain Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain dalam perlawanan di Stadium St. James Park, semalam. – AFP
Coloccini (kiri) melihat dengan kecewa bola yang masuk ke jaring selepas cuba menampan sepakan pemain Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain dalam perlawanan di Stadium St. James Park, semalam. – AFP

Pasukan Wenger akhirnya mengambil kesempatan daripada keada­an itu apabila sepakan rendah Alex Oxlade-Chamberlain menumpaskan penjaga gol Tim Krul setelah ditampan oleh Coloccini yang cuba menghalang bola tersebut pada minit ke-52.

“Perlawanan bertemu Newcastle adalah paling sukar, mereka membuat keputusan dari awal untuk bermain secara fizikal, namun kami tetap berjuang.

“Kami lebih matang dan bijak. Kemenangan ini penting jadi sebab itu kami agak berhati-hati,” kata Wenger.

Kekalahan itu membuatkan kemarau kemenangan Newcastle semakin berpanjangan dalam empat perlawanan pertama liga di bawah kendalian bos baharunya Steve McClaren.

ARTIKEL YANG SAMA