Arsenal mudah benam Hull City

Arsenal mudah benam Hull City

KINGSTON UPON HULL, 9 Mac (AFP) – Dua gol masing-masing daripada Olivier Giroud dan Theo Walcott menyaksikan penyandang juara Arsenal mengekalkan rekod tanpa kalah selama tiga tahun dalam saingan Piala FA selepas mudah menewaskan Hull City 4-0 pada perlawanan ulangan pusingan kelima, semalam.

Skuad kendalian Arsene Wenger akan menjadi tuan rumah kepada musuh Liga Perdana Inggeris, Watford dalam kelompok lapan terakhir Ahad ini untuk merebut tempat ke separuh akhir di Wembley, bulan depan. Kemenangan itu juga membolehkan Arsenal melebarkan rekod tanpa kalah dalam pertandingan itu kepada 15 perlawanan sekali gus The Gunners semakin hampir menyambar gelaran Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.

Giroud membuka tirai jaringan sebelum rehat babak pertama dan menambah satu lagi pada minit ke-71 sebelum Walcott meledak dua jaringan dalam tempoh 13 minit terakhir.

Theo Walcott menjaringkan gol ketiga Arsenal ketika menentang Hull City pada saingan Piala FA, kelmarin. – Reuters
Theo Walcott menjaringkan gol ketiga Arsenal ketika menentang Hull City pada saingan Piala FA, kelmarin. – Reuters

Kemenangan pertama dalam enam perlawanan terakhir itu menyaksikan Arsenal berjaya mengelak daripada melakar rekod terpanjang tanpa kemenangan dalam tempoh 18 tahun.

Arsenal terus menikmati prestasi terbaik dalam pertandingan piala yang menyaksikan kali terakhir mereka tewas ketika menentang Blackburn Rovers pada Februari 2013.

Kemenangan itu bagaimanapun terpaksa dibayar dengan harga yang mahal oleh Arsenal, apabila pertahanan Per Mertesacker, Gabriel dan perancang tengah Aaron Ramsey diusung keluar berikutan mengalami kecederaan.