Arsenal perlu agresif

Arsenal perlu agresif

LONDON, 2 Okt (AFP) – Per Mertesacker mencabar Arsenal untuk menunjukkan ketajaman yang lebih ketika mereka berusaha untuk pulih daripada kehambaran terbaru Eropah dalam perlawanan menentang pendahulu Liga Perdana, Manchester United Ahad ini.

Pasukan Arsene Wenger itu mengalami kekalahan memalukan 3-2 menentang Olympiakos pada pertengahan minggu yang menyaksikan mereka dalam bahaya kempunan peringkat kalah mati Liga Juara–Juara buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun.

Kesilapan penjaga gol David Ospina menambah aib Gunners apabila menjatuhkan bola sepakan sudut ke gawang sendiri untuk memberikan pasukan dari Greece itu gol kedua mereka dan dalam proses yang mencetuskan kritikan terhadap Wengewr kerana keputusannya untuk merehatkan pilihan utama, Petr Cech.

Tetapi pertahanan Arsenal, Mertesacker tidak memberikan sebarang alasan bagi kekalahan kedua berturut–turut persaingan Eropah pasukannya dan mengakui mereka perlu memulihkan semangat perjuangan bagi menghindarkan satu lagi kekalahan menentang United.

Per Mertesacker menanduk bola ketika menentang Olympiacos dalam aksi Kumpulan F Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, 29 September lalu. – Reuters
Per Mertesacker menanduk bola ketika menentang Olympiacos dalam aksi Kumpulan F Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, 29 September lalu. – Reuters

“Di laman sendiri kami seharusnya lebih agresif dari awal dan lebih dinamik. Ia hanya mengenai permainan kami,” kata Mertesacker.

“Apabila kami bermain seperti yang kami lakukan (pada Selasa), dengan kekurangan tumpuan dan disiplin, pasti kami tidak akan berpeluang.

“Saya rasa semua orang akan menyesal. Ia mengambil masa beberapa hari untuk pulih dan memikirkan mengenai Manchester United, yang juga peluang bagus untuk memainkan gaya bola sepak kami sekali lagi.”

Sementara itu, Wenger pasti mengekalkan Cech dalam kesebelasan utama jika dia cergas, dan pengurus Manchester United Louis van Gaal perlu menentukan sama ada untuk membuat perubahan empat hari selepas kemenangan 2-1 Liga Juara–Juara ke atas Wolfsburg.

United berkunjung ke Stadium Emirates, di mana Gunners menang hanya sekali musim ini, dalam empat kemenangan berturut–turut yang membolehkan mereka mencatatkan kelebihan satu mata di depan Manchester City dan tiga di depan Arsenal di tempat keempat.