Arsenal rasai kemenangan sejak 2011

Arsenal rasai kemenangan sejak 2011

LONDON, 5 Okt (Agensi) – Kemenangan 3-0 Arsenal ke atas Manchester United dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin menunjukkan Arsene Wenger sedar dia tidak perlu cepat tersinggung terhadap celaan pengkritiknya.

Di depan seawal minit keenam permainan, meledak gol kedua seminit kemudian diikuti gol ketiga Alexis Sanchez ketika permainan baharu memasuki minit ke-19, apa yang ditampilkan Arsenal di Emirates cukup menakjubkan.

Ia sesuatu yang amat diperlukan Wenger yang sebelum ini sering dikaitkan dengan watak antagonis terutama apabila membabitkan permusuhannya dengan rakan sejawatan, Jose Mourinho.

Arsenal mempunyai ramai pemain yang berkualiti terutama di bahagian pertahanan namun hanya beberapa pemain mampu berada di tahap terbaik seperti ketika bertemu United.

Persoalan paling utama, bagaimana pasukan sama yang tewas kepada Olympiakos beberapa hari sebelum itu, mendaki ke tangga kedua liga dan kononnya berada di ambang krisis.

Aksi Wayne Rooney dan Santi Cazorla ketika berentap malam kelmarin. – AFP
Aksi Wayne Rooney dan Santi Cazorla ketika berentap malam kelmarin. – AFP

Pernah ditundukkan Manchester City dan Chelsea dengan keputusan hampir sama, aksi Arsenal di Emirates kali ini di tahap kualiti yang jauh berbeza.

Louis van Gaal hadir ke Emirates dengan menguatkan benteng pertahanannya, namun teori itu pantas dirobek Arsenal dalam tempoh 20 minit perlawanan.

Keangkuhan Van Gaal itu akhirnya memakan diri kerana berbanding cuba untuk kembali ke permainan seperti dilakukan kelab itu sebelum ini, mereka gagal untuk menjaringkan gol sepanjang 84 minit selepas gol pertama Arsenal.

Ia perkara yang jelas sukar untuk difikirkan sekiranya Sir Alex Ferguson masih mengendalikan kelab itu.

Selain pertahanan cemerlang, gerakan menarik dari tengah, penjaga gol Arsenal Petr Cech juga seakan ingin membuktikan sesuatu mengenai kemampuannya.

Apa yang pasti, gol yang diledakkan Arsenal juga bukan bersandarkan kuantiti, namun cukup berkualiti.

Setiap jaringan Arsenal mempunyai kualiti tinggi yang dijana dengan gerakan dan hantaran sempurna yang jelas gagal dibaca pertahanan United selain membuatkan penjaga gol, David de Gea, terdiam.

Wenger jarang dilihat begitu gembira seperti awal pagi tadi yang menyaksikan pasukannya menghidupkan permainan bola sepak dalam seni.

ARTIKEL YANG SAMA