Arsenal tawan semula puncak liga

Arsenal tawan semula puncak liga

STOKE-ON-TRENT, United Kingdom, 18 Jan – Arsenal kembali merampas takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) sekalipun sekadar mencatat keputusan seri 0-0 bertemu Stoke City di Stadium Britannia, awal pagi tadi.

Begitupun, The Gunners hanya dibezakan dengan jumlah jaringan bersama Leicester City di puncak liga ketika kegagalan untuk melakar kemenangan di laman Stoke berterusan sejak 2010.

Pada dua aksi di Britannia sebelum ini, Arsenal tewas namun kali ini, penjaga gol kelab itu, Jack Butland muncul penghalang utama dengan tangkas menyelamat beberapa percubaan Alex Oxlade-Chamberlain dan Olivier Giroud.

Falsafah pengurus Arsenal, Arsene Wenger terhadap kecederaan juga memaksanya merombak pasukan sejak beberapa minggu lalu dan berharap pemain tonggaknya seperti Alexis Sanchez dan perancang, Mesut Ozil mampu kembali pulih ketika dijadualkan bertemu Chelsea, minggu ini.

Aksi Aaron Ramsey (kanan) dalam perlawanan tersebut. - Reuters
Aksi Aaron Ramsey (kanan) dalam perlawanan tersebut. – Reuters

Kehilangan pemain terbaik Jerman, Ozil akibat kecederaan kaki digambarkan Wenger sebagai tamparan besar buatnya.

“Tiada pasukan di dunia ini yang tidak merasai kehilangan Mesut,” kata Wenger sambil mengakui skuad bimbingannya mampu menangani corak permainan fizikal ditampilkan Stoke.

“Dengan kehadiran Mesut juga kami akan berdepan perlawanan yang sukar. Namun kami mempunyai semangat yang hebat dan kami kembali dengan keputusan yang positif berbanding beberapa keputusan sebelum ini.”

Ketika Butland menampilkan persembahan terbaiknya, penjaga gol Arsenal, Petr Cech juga tampil dengan prestasi serupa dan dianugerahkan pemain terbaik perlawanan.

Antara aksi menyelamat baik yang dilakukannya ialah menggagalkan cubaan Marko Arnautovic ketika babak kedua perlawanan selain menafikan serangan balas Stoke yang dijana bekas pemain Barcelona, Bojan Krkic. – Reuters