Arsenal tekad pertahan Piala FA

Arsenal tekad pertahan Piala FA

LONDON, 7 Jan – Juara bertahan Piala FA, Arsenal memulakan langkah untuk muncul kelab ketiga dalam sejarah bola sepak Ingggeris yang menjulang trofi itu sebanyak tiga kali berturut-turut.

Skuad The Gunners yang sudah menjulang kejuaraan itu sebanyak 12 kali, bakal muncul pasukan pertama melakukannya sejak 130 tahun lalu dan dijadualkan bertemu Sunderland di Emirates pada aksi pusingan ketiga, Sabtu ini.

Leicester City yang menghuni tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Tottenham Hotspur pada Ahad di White Hart Lane, manakala Manchester City bakal dicabar Norwich City.

Sebagai rekod, Arsenal hanya pernah tewas sekali kepada Sunderland dalam 22 perlawanan terakhir ketika aksi pusingan kelima Piala FA 2012.

“Sudah pasti saya akan buat perubahan untuk aksi dengan Arsenal,” kata pengurus Sunderland, Sam Allardyce.

Arsenal ketika menjulang Piala FA tahun lepas. - Reuters
Arsenal ketika menjulang Piala FA tahun lepas. – Reuters

“Jika kamu mahu kami hormat saingan Piala FA, jangan letak perlawanan liga di pertengahan minggu.”

Spurs yang juga juara lapan kali pernah menewaskan Leicester pada final 1961, pastinya lebih bersemangat untuk melunaskan dendam apabila mereka tewas 2-1 kepada lawan itu tahun lalu.

City pula bakal menghadapi aksi sukar dengan Norwich City terutamanya selepas tewas 2-1 kepada Everton pada aksi pertama separuh akhir Piala Liga, awal pagi tadi.

Norwich yang kini berada di tangga ke 15 Liga Perdana Inggeris berada pada aksi terbaik apabila menang tiga daripada empat perlawanan terakhir. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA