Arsenal terbantut, Everton, Watford mara

Arsenal terbantut, Everton, Watford mara

LONDON, 21 Feb (Agensi) – Kempen Arsenal memburu kejuaraan Piala FA ketiga berturut-turut terbantut seketika selepas diikat tanpa jaringan oleh Hull City dalam pusingan kelima semalam, sekali gus berdepan perlawanan ulangan. The Gunners turut memburu gelaran sebagai pasukan pertama selepas Blackburn Rovers memenangi piala berkenaan tiga tahun berturut-turut pada tahun 1886.

Di sebalik penguasaan penuh Arsenal, gawang Hull yang dikawal penjaga gol, Eldin Jakupovic jelas sukar dirobek menerusi beberapa aksi menyelamat hebat penjaga gol dari Bosnia dan Herzegovina itu.

Sepanjang perlawanan, Jakupovic melakukan 11 aksi menyelamat hebat termasuk menghalang cubaan terbaik daripada penyerang, Danny Welbeck dan Olivier Giroud. Begitupun, Jakupovic berkemungkinan dikenakan tindakan atas tindakannya mencium anaknya selepas melakukan aksi menyelamat terbabit.

Keputusan itu juga bermakna Arsenal terpaksa beraksi dalam perlawanan ulangan di laman lawan.

West Bromwich Albion pula tersingkir apabila dikejutkan oleh kelab divisyen dua, Reading 3-1 sebelum kapten Chris Brunt dibaling dengan syiling yang hampir mengenai matanya.

West Brom bermula baik di Stadium Madejski apabila Darren Fletcher membuka jaringan pada minit ke-54, tetapi Reading, yang tumpas pada peringkat separuh akhir musim lalu bangkit dengan tiga gol jaringan Paul McShane, Michael Hector, dan Lucas Piazon yang dipinjamkan Chelsea. Brunt yang menuju ke arah penyokong West Brom untuk memberi tepukan kepada mereka, sebaliknya dibaling dengan syiling.

Dua lagi pasukan Liga Perdana, Everton dan Watford menempah tiket ke suku akhir selepas menewaskan Bournemouth dan Leeds. Rembatan Ross Barkley dan jaringan jarak dekat Romelu Lukaku pada babak kedua memberikan Everton kemenangan 2-0 di Bournemouth, yang menyaksikan penalti tuan rumah pada babak pertama diselamatkan.

Watford pula menang tipis ke atas pasukan Divisyen Dua, Leeds 1-0, apabila Scott Wootton tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran silang lawan.

ARTIKEL YANG SAMA