Artikel majalah sumber penting cari pelarian

Artikel majalah sumber penting cari pelarian

LOS MOCHIS, Mexico, 12 Jan (Reuters) – Satu mesyuarat rahsia yang diadakan oleh bintang Hollywood Sean Penn dengan ketua dadah yang paling dikehendaki di dunia, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman, untuk membincang satu artikel majalah adalah penting untuk mencari pelarian itu, kata peguam negara Mexico semalam.

Guzman, ketua kartel dadah Sinaloa, ditangkap pada Jumaat ekoran usaha memburu beberapa bulan lamanya selepas dia membuat terowong keluar daripada penjara yang dikawal ketat di Mexico pada Julai.

Mexico berkata ia merancang menghantarnya pulang ke Amerika Syarikat, di mana dia dikehendaki kerana mengeksport beratus tan kokain, methamphetamine dan heroin di seluruh sempadan.

Media semalam diberikan kebenaran untuk memasuki rumah di mana Guzman bersembunyi sebelum ditangkap.

Namun sekali dia melepaskan diri ke terowong selama beberapa jam, meninggalkan di belakang sebuah bangunan yang dipenuhi dengan lubang peluru, kesan darah dan makanan yang sudah busuk.

Pasukan marin Mexico menahan seorang lelaki dalam satu operasi untuk menangkap ketua pengedar dadah Joaquin ‘El Chapo’ Guzman di Los Mochis. – Reuters
Pasukan marin Mexico menahan seorang lelaki dalam satu operasi untuk menangkap ketua pengedar dadah Joaquin ‘El Chapo’ Guzman di Los Mochis. – Reuters

Peguam Negara Mexico Arely Gomez berkata sementara penghantaran balik ketua dadah mengambil masa satu tahun pada purata, ia mungkin mengambil lima tahun dalam kes Guzman.

Namun bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, seorang lagi pegawai kanan Mexico berkata kerajaan tidak berminat untuk membiarkan proses tersebut berlarutan.

Majalah Rolling Stone menerbit satu artikel oleh Penn pada Sabtu berdasarkan temu bualnya dengan Guzman.

Gomez berkata siasatan telahpun dilancarkan dalam pertemuan di antara Guzman dan Penn pada awal Oktober di satu tempat persembunyian di hutan, menambah sebarang siasatan jenayah yang mungkin ke atas pelakon-pengarah itu akan bergantung pada apa, jika ada, perjanjian yang dicapai olehnya dengan Guzman.

Penyiasat AS juga akan memeriksa interaksi Penn dengan Guzman, kata dua sumber AS semalam, tetapi masih tidak jelas sama ada pendakwa akan cuba memaksa pelakon itu menyerahkan maklumat mengenai temu bual itu.

Pelakon Mexico Kate del Castillo mengiringi Penn ke mesyuarat tersebut di satu lokasi yang tidak didedahkan. Kerajaan Mexico telah mengekori peguam Guzman yang mengiringi mereka.

Akhbar Mexico El Universal menerbit gambar semalam mengenai Penn dan Castillo yang dikatakannya menunjukkan pasangan itu sedang dijejaki pada masa itu.

Penn, yang dikritik di Amerika Syarikat kerana melawat Guzman, memberitahu Associated Press semalam: “Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.”