Artis Brunei sambut Aidilfitri di Perancis

Artis Brunei sambut Aidilfitri di Perancis

Oleh Faridah Haji Ibrahim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Suasana Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja disambut meriah dan dirayakan oleh seluruh umat Islam di Negara Brunei Darusalam malah juga oleh warga Brunei yang berada di perantauan.

Begitu juga dengan salah seorang artis Brunei yang pada masa ini menetap di Perancis, Awang Abdul Khabir Zainidi, seorang pengarah filem dan pelakon tanah air.

Beliau kini berada di Perancis dalam rangka usaha mempromosikan filem-filem Brunei di Eropah bagi penyertaan ke festival di Perancis dan London. Filem terbabit adalah termasuk filem-filem pendek, Family And Brunei Artist, Jentingkai dan Vanishing Children.

Menurut beliau, ketika 1 Syawal dan bermulanya sambutan Aidilfitri di Perancis, kedengaran gema takbir solat sunat Hari Raya pada sebelah paginya dan disusuli kemudian solat Jumaat di La Grande yang merupakan masjid terbesar di kota Paris.

Awang Abd Khabir Zainidi bergambar dengan salah seorang penuntut Brunei dikenali sebagai Awang Malik semasa sambutan Aidilfitri di Kedutaan Brunei di Perancis.
Awang Abd Khabir Zainidi bergambar dengan salah seorang penuntut Brunei dikenali sebagai Awang Malik semasa sambutan Aidilfitri di Kedutaan Brunei di Perancis.

Sambutan majlis Hari Raya turut berlangsung di Kedutaan Negara Brunei Darussalam pada 20 Julai 2015 dengan membabitkan kehadiran seramai 106 orang tetamu. Di antara tetamu yang hadir ialah pada diplomat dan kakitangan Kedutaan Indonesia, Laos, warga Perancis dan tidak ketinggalan warga Brunei sendiri.

Hidangan sempena sambutan itu disediakan oleh warga Brunei yang bekerja di Kedutaan Brunei di Perancis dan di antara yang dihidangkan ialah kuih kelupis dan daging rendang yang ternyata keenakannya mendapat pujian daripada kalangan warga Perancis.

ARTIKEL YANG SAMA