AS akui kesilapan serangan maut di Syria

AS akui kesilapan serangan maut di Syria

WASHINGTON, 18 Sept – Pentagon mengaku tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat yang memerangi militan IS di Syria tersilap menyerang kedudukan tentera negara itu semalam selepas Rusia menuduh ia membunuh sekurang-kurangnya 62 anggota tentera Syria.

“Tentera pakatan percaya mereka menyerang kedudukan IS,” menurut Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) dalam satu kenyataannya.

“Serangan udara dihentikan serta merta apabila pegawai memaklumkan pegawai Rusia bahawa anggota dan kenderaan yang dijadikan sasaran adalah sebahagian tentera Syria.”

Amerika Syarikat “kesal” dengan kematian tentera Syria, kata pegawai kanan pentadbiran negara itu.

Washington “menyampaikan kekesalan menerusi Persekutuan Rusia di atas kehilangan nyawa tentera Syria yang tidak disengajakan,” katanya.

Gambar fail 2 Oktober 2012 menunjukkan kepulan asap kelihatan di daerah Saif Al Dawla, di Aleppo, Syria. Rusia menyatakan seramai 62 anggota tentera Syria terbunuh dan sekurang-kurangnya 100 cedera akibat serangan udara bagi memerangi militan IS di Syria. - AP
Gambar fail 2 Oktober 2012 menunjukkan kepulan asap kelihatan di daerah Saif Al Dawla, di Aleppo, Syria. Rusia menyatakan seramai 62 anggota tentera Syria terbunuh dan sekurang-kurangnya 100 cedera akibat serangan udara bagi memerangi militan IS di Syria. – AP

Tentera Syria menyatakan pesawat tentera pakatan menyerang kedudukan mereka berhampiran lapangan terbang Deir Ezzor di timur negara itu, dalam kes pertama tentera pakatan menyerang sasaran rejim Syria.

Rusia yang juga sekutu Syria menyatakan 62 anggota tentera terbunuh dan sekurang-kurangnya 100 lagi cedera dalam serangan “pesawat pasukan antarabangsa yang memerangi IS”.

Tentera Rusia menyatakan dua pesawat F-16 dan dua pesawat A-10 terbang memasuki ruang udara Syria dari Iraq untuk melancarkan serangan itu.

Pemerhati Hak Kemanusiaan Syria (SOHR) menyatakan angka kematian adalah 83, ketika mengesahkan serangan dilancarkan pasukan antarabangsa diketuai Amerika.

Pegawai Amerika juga mengesahkan serangan, berkata “mereka percaya enam kenderaan, termasuk apa yang disangkakan kereta kebal, diserang selain anggota tentera yang berada di kawasan terbuka.”

Para pegawai itu belum dapat memberikan jumlah sebenar mangsa yang cedera. – AFP