AS amat prihatin penahanan di Cuba

AS amat prihatin penahanan di Cuba

WASHINGTON, 11 Ogos – Amerika Syarikat “begitu bimbang” dengan penangkapan para penentang di Cuba baru-baru ini, tetapi ini tidak akan menjejaskan lawatan bersejarah ke Havana oleh Setiausaha Negara AS John Kerry, menurut Jabatan Negara semalam.

Kira-kira 90 orang aktivis, sebahagian mereka memakai topeng dengan imej Presiden AS, Barack Obama, ditahan sekejap Ahad lalu ketika perbarisan di Havana yang diketuai oleh Ladies in White, sebuah kumpulan penentang yang diasaskan oleh para isteri tahanan politik.

Kesemua mereka dibebaskan selepas kira-kira empat jam setengah dalam tahanan, menurut kumpulan penentang itu. “Kami begitu bimbang dengan penangkapan aktivis-aktivis aman, oleh pihak berkuasa Cuba,” kata jurucakap Jabatan Negara, John Kirby.

“AS akan terus menyokong hak bagi perhimpunan aman, pertubuhan dan kebebasan bersuara,” kata Kirby, dengan menambah kata Kerry bagaimanapun akan pergi ke Havana pada hari Jumaat.

Sebilangan aktivis memberi reaksi marah terhadap keputusan AS untuk menjalin hubungan dengan Cuba, yang telah diumumkan pada Disember oleh Obama dan Presiden Cuba, Raul Castro.

Kedua-dua negara telah membuka semula kedutaan di bandar masing-masing selepas lebih 50 tahun terputusnya hubungan.

Kerry dijangka berada di Havana bagi satu upacara untuk menaikkan bendera AS di kedutaannya yang dibuka semula, yang pertama sejak Januari 1961. Ketua misi, Jeffery DeLaurentis, sementara itu memberitahu portal berita OnCuba semalam bahawa para diplomat AS kini boleh bebas membuat perjalanan sekitar pulau itu. Sebelum ini mereka terbatas di kawasan Havana. – AFP