AS ancam Rusia terhadap konflik di Syria

AS ancam Rusia terhadap konflik di Syria

ALEPPO, Syria, 29 Sept – Semalam AS mengancam akan menangguhkan urusannya dengan Rusia berhubung konflik di Syria ekoran serangan yang bertambah teruk di beberapa bahagian bandar Aleppo yang dikuasai pemberontak, termasuklah serangan ke atas dua buah hospital.

Ketua PBB Ban Ki-moon menyelar serangan itu, yang menyaksikan dua hospital terbesar di timur Aleppo yang dikuasai oleh pihak penentang menjadi sasaran serangan udara dan bedilan, sebagai ‘jenayah perang’.

Pasukan tentera Presiden Bashar al-Assad dan sekutunya, Moscow telah melancarkan siri-siri serangan udara ke atas timur Aleppo sejak rejim Syria mengumumkan usaha minggu lalu untuk menawan semula kesemua bandar yang berbahagi itu.

Kementerian pertahanan Rusia berkata Moscow bersiap sedia untuk melancarkan semula rundingan dengan AS berhubung krisis itu, tetapi seorang pegawai pembangkang Syria berkata penyelesaian politik kepada konflik itu ‘bukan lagi pilihan yang berdaya maju.’

Berbelas-belas orang awam telah terbunuh, bangunan perumahan telah musnah menjadi runtuhan dan para penduduk di timur Aleppo yang telah pun menderita di bawah pengepungan kerajaan berdepan kekurangan makanan dan perubatan yang teruk.

Pengeboman terbaru itu, ada yang paling teruk dalam tempoh perang saudara selama lima tahun di Syria dan berlaku selepas kegagalan gencatan senjata yang singkat yang mana Rusia dan AS menjadi perantaraannya bulan ini.

Moscow dan Washington saling tuduh menyalahkan antara satu sama lain ekoran kegagalan gencatan senjata itu dan AS dengan keras mengkritik penglibatan Rusia dalam serangan ke atas Aleppo. – AFP