AS anggap ASEAN pusat pertumbuhan utama

AS anggap ASEAN pusat pertumbuhan utama

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Syarikat-syarikat Amerika Syarikat (AS) menganggap Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai pusat pertumbuhan utama berdasarkan potensi perkembangannya yang memberangsangkan.

Ketua Perwakilan Majlis Perniagaan AS-ASEAN, Ezani Mansor berkata ini termasuk faktor komposisi golongan muda yang mampu menarik perniagaan berteraskan teknologi seperti e-dagang.

“Pada masa ini, hampir 40 peratus penduduk di ASEAN berusia bawah 24 tahun,” katanya yang juga panelis pada hari terakhir Forum Penyepaduan Ekonomi ASEAN 2016 selama dua hari, di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, Ezani berkata ini diperkukuhkan lagi dengan unjuran bahawa 400 juta individu berpendapatan sederhana menjadi antara penduduk rantau ini dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

Ini, katanya, hanya menjadikan ASEAN sebagai lokasi menarik dari segi penyediaan peluang perniagaan.

Pelawat mengunjugi petak jualan dari Malaysia semasa Expo China-ASEAN kali ke-13 di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang selatan China, Isnin lalu. – Xinhua
Pelawat mengunjugi petak jualan dari Malaysia semasa Expo China-ASEAN kali ke-13 di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang selatan China, Isnin lalu. – Xinhua

Malah, bilangan penduduk muda yang ramai itu membolehkan ASEAN muncul destinasi menarik untuk syarikat permulaan yang pada masa ini bernilai AS$10 bilion.

“Kita berharap dapat melihat ekosistem syarikat permulaan itu terus dipertingkatkan,” katanya.

Pada tahun lepas, hubungan dagangan dua hala AS-ASEAN berjumlah AS$227 bilion manakala pelaburan negara maju itu di ASEAN pula AS$12.19 bilion.

Forum itu dianjurkan bersama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Perdagangan Dunia serta institusi pengajian tinggi asing termasuk University of Oxford dan University of Bern, Switzerland.

Program itu bertujuan menganalisis prospek serta cabaran penyepaduan ekonomi di ASEAN selain impak sosio dan politiknya terhadap negara-negara anggota perkumpulan itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA