AS bayar AS$400 juta kepada Iran

AS bayar AS$400 juta kepada Iran

WASHINGTON, 19 Ogos – Amerika Syarikat kelmarin mengakui bahawa ia menunggu Iran untuk membebaskan warganya yang ditahan di Tehran sebelum menyerahkan hutangnya sebanyak AS$400 juta secara tunai, tetapi sekali lagi menegaskan pembayaran itu bukan wang tebusan.

“Dengan kebimbangan Iran boleh mengingkari pembebasan itu … kami memang berusaha untuk mengekalkan pengaruh maksimum sehingga rakyat AS dibebaskan,” jurucakap Jabatan Negara John Kirby memberitahu wartawan. “Itulah keutamaan kami,” katanya.

Pada Januari, lima tahanan AS telah dibebaskan ketika Washington memberikan pengampunan kepada tujuh rakyat Iran dan menarik balik waran tangkap terhadap 14 yang lain. Sejurus selepas itu, AS membantu menghantar 400 juta mata wang francs Switzerland dan euro ke Iran.

Kerajaan AS menegaskan wang itu adalah untuk menyelesaikan hutang lama berpunca daripada pembelian ketenteraan oleh Iran. Wang itu diserahkan pada 17 Januari, hanya sehari selepas perjanjian nuklear antara Tehran dan kuasa-kuasa dunia berkuat kuasa.

“Kami dapat menyimpulkan beberapa perjanjian dalam tempoh 24 jam termasuk pelaksanaan perjanjian nuklear, rundingan banduan dan penyelesaian tuntutan tertunggak tribunal Hague,” kata Kirby.

pg15_160820_c

“Memang sudah diketahui umum kami mengembalikan AS400 juta kepada Iran pada masa yang sama sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian Hague,” katanya.

Pada awal Ogos, Jabatan Negara berkata pembebasan banduan dan penghantaran wang itu adalah perkara berasingan, walaupun Kirby kelmarin mengakui bahawa kedua-dua perkara itu sebenarnya berkaitan.

“Saya mengatakan kedua-dua peristiwa itu berlaku secara kebetulan… adalah bodoh, tidak bijak, tidak bertanggungjawab jika kita tidak cuba untuk mengekalkan pengaruh maksimum,” kata Kirby.

Pengalaman pahit itu telah mencetuskan gelombang pasang surut kutukan daripada Parti Republikan, yang mempersoalkan masa dua peristiwa dan berkata kerajaan membayar wang tebusan untuk membebaskan tawanan.

Calon presiden Republikan Donald Trump pantas menyerang dengan berkata, “Kita tahu Presiden Obama telah berbohong mengenai wang AS$400 juta itu.

“Beliau menafikan wang itu wang tebusan. Dia kata tak bayar wang tebusan, tetapi dia memang bayar. Dia berbohong siang-siang mengenai tebusan,” kata Trump ketika berucap dalam rapat umum di Carolina Utara, kelmarin. – AFP