AS belasah Guatemala 4-0

AS belasah Guatemala 4-0

LOS ANGELES, 30 Mac (AFP) – Amerika Syarikat (AS) kembali meletakkan diri mereka pada landasan tepat dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 selepas membelasah Guatemala 4-0, pagi tadi.

Kekalahan mengejut 2-0 kepada skuad Guatemala pada Jumaat lalu meninggalkan pasukan kendalian Jurgen Klinsmann berdepan misi wajib menang pada perlawanan timbal balik di Columbus.

Tetapi Amerika Syarikat, yang layak dalam setiap pusingan akhir Piala Dunia sejak kejohanan 1990 di Itali tidak kelihatan seperti akan terlepas tiga mata berharga apabila mendominasi permainan sejak perlawanan dimulakan.

Jaringan penting Amerika hadir pada minit ke-12 menerusi Clint Dempsey sebelum Geoff Cameron meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-36.

Clint (kiri) ketika bersaing dengan pemain pertahanan Guatemala, Hernandez pada separuh masa pertama pada perlawanan separuh akhir kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium MAPFRE semalam. – Reuters
Clint (kiri) ketika bersaing dengan pemain pertahanan Guatemala, Hernandez pada separuh masa pertama pada perlawanan separuh akhir kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium MAPFRE semalam. – Reuters

Sentuhan daripada Gyasi Zardes yang tidak dijangka pertahanan Guatemala dua minit selepas bermula babak kedua membolehkan Zusi mudah menolak masuk jaringan ketiga Amerika.

Pemain gantian Jozy Altidore mengesahkan kemenangan bergaya tuan rumah dengan gol keempat pada penghujung permainan.

Kemenangan itu menyaksikan Amerika merampas kedudukan kedua dalam Kumpulan C daripada Guatemala, di belakang Trinidad dan Tobago yang menewaskan St Vincent Grenadines 6-0, Selasa lalu.