AS beri amaran kepada jeneral-jeneral Syria

AS beri amaran kepada jeneral-jeneral Syria

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), Amerika Syarikat, 22 Nov – Amerika Syarikat semalam telah mendedahkan nama berbelas-belas orang jeneral dan para pegawai Syria yang dituduh mengetuai serangan ke atas sasaran orang awam dan mengendalikan penjara penyeksaan, dengan memberi amaran satu hari nanti mereka akan berdepan pengadilan.

Duta AS Samantha Power membacakan nama-nama itu pada mesyuarat Majlis Keselamatan berhubung Syria, yang mana pasukan kerajaan yang dibantu oleh Rusia meneruskan serangan ketika krisis kemanusiaan mencecah tahap mencemaskan.

Hampir sejuta orang kini hidup di bawah pengepungan, menurut ketua bantuan PBB Stephen O’Brien, peningkatan dramatik dari 486,700 penduduk Syria terjejas oleh pengepungan enam bulan lalu. Power berkata kebanyakan pemerintah tentera terlibat dalam pembunuhan orang awam dengan serangan ke atas sekolah, hospital dan rumah sejak letusan peperangan dalam tahun 2011.

Duta itu telah menyenaraikan sebilangan kemudahan, tempat yang mana kes penyeksaan telah didokumenkan dan memberi amaran kepada para pegawai dan pegawai penjara bahawa dunia sedang memerhatikan mereka.

Antara yang didedahkan nama mereka ialah lima orang mejar jeneral – Adib Salameh, Jawdat Salbi Mawas, Tahir Hamid Khalil, Jamil Hassan dan Rafiq Shihadeh – berserta dengan lima brigadier jeneral dan dua orang kolonel.

AS tidak akan membiarkan mereka yang mengawal unit-unit yang terlibat dengan tindakan ini bersembunyi tanpa nama di sebalik rejim Assad,” katanya lagi. Majlis itu mengadakan pertemuan ketika kapal terbang perang Syria dan Rusia menyerang beberapa bahagian utara Syria yang dikuasai pemberontak, manakala catuan makanan kehabisan di timur Aleppo, yang dikepung sejak Julai lalu.

Kuasa-kuasa barat telah meningkatkan tekanan ke atas Rusia berhubung kempennya di Syria selepas usaha-usaha diplomatik yang bersetuju dengan gencatan senjata gagal dua bulan lalu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA