AS bidas penempatan baru Israel

AS bidas penempatan baru Israel

WASHINGTON, 28 Julai – Amerika Syarikat (AS) membidas rancangan Israel untuk membina ratusan rumah penempatan baru di timur Baitulmuqaddis yang dirampas sebagai satu ‘provokasi’, dengan mengatakan ranca-ngan itu amat menjejaskan prospek perdamaian dengan Palestin.

“Kami amat bimbang dengan laporan hari ini bahawa kerajaan Israel telah menyiarkan tawaran bagi 323 unit petempatan timur Baitulmuqaddis,” jurucakap Jabatan Negara John Kirby berkata dalam satu kenyataan semalam. “Ini menyusuli pengumuman Isnin lalu tentang rancangan bagi 770 unit di petempatan Gilo.”

“Langkah-langkah ini oleh pihak berkuasa Israel adalah contoh terbaru tentang apa yang nampaknya pencepatan kegiatan petempatan yang terus menerus menjejaskan prospek bagi penyelesaian dua negara,” kata Kirby.

“Kami masih bimbang Israel meneruskan corak provokasi ini dan tindakan tidak produktif yang menimbulkan persoalan serius tentang komitmen besar Israel kepada penyelesaian damai yang dirundingkan dengan Palestin.”

Para pemimpin Palestin dan PBB bersama-sama menyelar rancangan awal minggu ini bagi 770 buah rumah baru yang akan meluaskan petempatan Gilo di kawasan selatan timur Baitulmuqaddis.

Ia adalah sebahagian rancangan lebih besar Israel bagi kira-kira 1,200 buah unit yang telah diluluskan kira-kira tiga tahun lalu, menurut Ir Amim, sebuah NGO yang memantau kegiatan petempatan Israel. Semalam, tawaran-tawaran bagi 323 rumah petempatan di empat buah kawasan timur Baitulmuqaddis telah disiarkan, menurut Ir Amim dan NGO Israel, Peace Now. – AFP