AS, Cuba pulih perkhidmatan penerbangan bersama

AS, Cuba pulih perkhidmatan penerbangan bersama

HAVANA, 17 Dis – Pegawai AS dan Cuba berkata semalam mereka telah mencatat kemajuan penting dalam usaha berbulan-bulan lamanya untuk memulihkan perkhidmatan penerbangan yang berjadual di antara negara berkenaan selepas konfrontasi selama setengah abad.

Satu perjanjian akan membuka laluan kepada syarikat penerbangan AS untuk menjadualkan penerbangan ke Cuba yang boleh ditempah oleh pelancong secara langsung dari laman web mereka, yang boleh merangsang pelancongan dan perniagaan di pulau yang ditadbir oleh komunis itu.

Satu perjanjian formal masih belum dicapai, kata pegawai.

Menurut agensi berita yang memetik pegawai tanpa nama, melaporkan awal semalam bahawa Amerika Syarikat dan Cuba telah mencapai ‘satu pemahaman’ untuk memulihkan penerbangan komersial.

Rundingan diadakan sehari sebelum ulang tahun keputusan musuh Perang Dingin untuk memulihkan hubungan, yang membawa kepada pertukaran banduan dan pembukaan kedutaan di Washington dan Havana.

Josefina Vidal, pengarah hal ehwal AS di Kementerian Luar Cuba, berkata negara-negara ‘mencatat kemajuan penting dalam rundingan’ dan ‘tidak lama lagi kami boleh membuat pengumuman.’

Seorang pegawai Jabatan Negara AS berkata kedua-dua buah negara telah mencatat kemajuan namun masih lagi mengadakan rundingan.

Wakil dari negara-negara masing-masing berkumpul pada Isnin di Washington untuk rundingan terbaru mengenai penerbangan berkenaan, selepas rundingan pada Mac dan September.

Perkhidmatan penerbangan komersial yang dijadualkan telah pun digantung selama beberapa dekad akibat permusuhan Perang Dingin, walaupun penerbangan sewa telah menghubungkan negara-negara buat sementara waktu. – Reuters