AS dakwa ‘tiada niat’ lakukan provokasi

AS dakwa ‘tiada niat’ lakukan provokasi

BEIJING, China, 20 Dis (Agensi) – Amerika Syarikat berkata dua pengebom B-52 miliknya tidak berniat terbang di ruang udara pulau buatan manusia yang dikawal China di Laut China Selatan, selepas Beijing menuduh Washington melakukan ‘provokasi serius ketenteraan’ di perairan strategik itu yang bertindan tuntutan ke atasnya.

Kementerian Pertahanan China semalam menuduh AS sengaja membangkitkan ketegangan di rantau itu, yang mana China telah dengan agresif menegaskan tuntutannya hampir-hampir ke atas kesemua kepulauan, terumbu dan laut sekelilingnya. Ia mengulangi akan melakukan apa saja yang perlu untuk melindungi kedaulatan China.

Jurucakap Pentagon, Mark Wright berkata misi 10 Disember bukanlah operasi ‘kebebasan pengemudian’ dan ‘tidak ada niat terbang dalam 12 batu nautika sebarang ciri,” dengan menunjukkan misi mungkin tersasar dari laluan.

AS menggunakan kebebasan operasi pengemudian yang dirancang awal untuk menegaskan hak-haknya pada ‘laluan tidak bersalah’ di perairan wilayah negara lain.

“AS secara rutin melancarkan misi latihan B-52 di seluruh rantau, termasuklah di Laut China Selatan,” Wright berkata dalam e-mel kepada media. “Misi-misi ini direka untuk mengekalkan kesediaan dan menunjukkan komitmen kami untuk terbang, belayar dan beroperasi di mana-mana yang dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa.”

Gambar fail menunjukkan pemandangan dari pulau buatan manusia yang dikawal China di Laut China Selatan yang Beijing tuduh dua pengebom B-52 Washington terbang di ruang udara perairan strategik itu. – Agensi
Gambar fail menunjukkan pemandangan dari pulau buatan manusia yang dikawal China di Laut China Selatan yang Beijing tuduh dua pengebom B-52 Washington terbang di ruang udara perairan strategik itu. – Agensi

Wright berkata AS ‘sedang meneliti perkara itu.”

AS tidak mengambil pendirian rasmi berhubung tuntutan kedaulatan di Laut China Selatan yang mana AS$5 trilion dalam perdagangan antarabangsa melintasinya setiap tahun. Bagaimanapun, Washington menegaskan kebebasan pengemudian dan menegaskan tujuh kepulauan yang baru dibentuk oleh China tidak menikmati hak-hak biasa, termasuklah had wilayah 22 kilometer nautika.

Kementerian Pertahanan China menuntut Washington segera mengambil langkah untuk mencegah kejadian seumpama itu dan mencegah penjejasan kepada hubungan antara ketenteraan kedua-dua negara.

“Tindakan pihak AS merupakan provokasi serius ketenteraan dan menyebabkan keadaan lebih rumit dan malah menenteramkan Laut China Selatan,” menurut kenyataan kementerian itu.

ARTIKEL YANG SAMA