AS dakwa tiga terlibat transaksi ratusan juta

AS dakwa tiga terlibat transaksi ratusan juta

WASHINGTON, 22 Mac – Seorang lelaki dengan dua warganegara Iran-Turki dan dua warga Iran telah didakwa kerana terlibat dalam transaksi ratusan juta dolar bagi pihak Iran dan entiti Iran dalam mencabul sekatan Amerika Syarikat (AS), kata Jabatan Keadilan AS.

Reza Zarrab, 33, seorang penduduk Turki yang memegang dua kerakyatan telah ditangkap pada 19 Mac dan dihadapkan di mahkamah persekutuan Miami kelmarin, menurut jabatan itu.

Rakyat Iran – Camelia Jamshidy, 29 dan Hossein Najafzadeh, 65 – masih lagi bebas.

“Seperti yang dipercayai, defendan-defendan berkenaan berkonspirasi selama bertahun-tahun dalam mencabul dan mengelak sekatan Amerika Syarikat ke atas Iran dan entiti Iran,” kata Peguam AS, Preet Bharara.

“Mereka juga dikatakan telah melaburkan wang menerusi institusi seluruh dunia, Reza Zarrab, Camelia Jamshidy, dan Hossein Najafzadeh telah menjejaskan sekatan rejim AS yang dikenakan ke atas Iran dan melakukan jenayah persekutuan,” tambah Bharara.

Para defendan dituduh berkonspirasi antara tahun 2010 dan 2015 untuk mengelak sekatan AS dan antarabangsa ke atas Iran dengan menyembunyikan transaksi kewangan yang dilakukan bagi pihak entiti Iran.

“Dakwaan itu diumumkan hari ini yang seharusnya dapat menghantar mesej kepada mereka yang cuba untuk menyembunyikan siapa rakan perniagaan sebenar mereka,” kata Diego Rodriguez, penolong pengarah yang bertanggungjawab atas pejabat New York FBI. – AFP