AS dan PBB mengalu-alukan laporan akhir MH17

AS dan PBB mengalu-alukan laporan akhir MH17

WASHINGTON DC, 14 Okt – Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) telah “mengalu-alukan” laporan akhir Lembaga Keselamatan Belanda mengenai penerbangan MH17 Malaysia Airline yang ditembak jatuh tahun lalu di timur Ukraine.

“Kami mengalu-alukan penemuan penting Lembaga Keselamatan Belanda dalam laporan akhirnya mengenai penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang telah ditembak jatuh,” kata timbalan jurucakap Jabatan Negara AS, Mark Toner dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurut beliau laporan tersebut merupakan keputusan daripada siasatan yang disiapkan dalam tempoh 15 bulan secara bebas, telus dan rapi mengikut Annex 13 Konvensyen mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa yang melibatkan sumbangan ramai pakar dari pelbagai negara termasuk AS,” jelas Toner.

“Laporan (Lembaga Keselamatan Belanda) mengesahkan kata-kata awal Setiausaha Negara John Kerry lebih setahun yang lalu bahawa MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara BUK,” kata beliau.

Beliau turut mengingatkan semula bahawa Kerry sudah menyatakan secara jelas bahawa AS ada mengesan peluru berpandu dilancarkan dari kawasan kawalan pemberontak pada masa penembakan jatuh tersebut.

Imej menunjukkan kokpit MH17 direka bentuk semula (bawah kanan) ketika pembentangan  laporan akhir MH17 oleh Lembaga Keselamatan Belanda kepada media di pangkalan udara Gilze Rijen, Belanda pada 13 Oktober. – AFP
Imej menunjukkan kokpit MH17 direka bentuk semula (bawah kanan) ketika pembentangan laporan akhir MH17 oleh Lembaga Keselamatan Belanda kepada media di pangkalan udara Gilze Rijen, Belanda pada 13 Oktober. – AFP

Tambahnya Setiausaha Negara AS juga ada memperkatakan mengenai perbualan kalangan para pemimpin pemberontak yang bercakap berdegar-degar mengenai perbuatan menembak jatuh pesawat terbabit sejurus kejadian tragik.

Sementara itu seorang diplomat AS yang mengikuti reaksi Malaysia berhubung laporan akhir Lembaga Keselamatan Belanda berkata kepada Bernama, Malaysia berhak menuntut kebertanggungjawaban pihak yang menembak jatuh pesawat MH17 itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata selepas Lembaga Keselamatan Belanda mendedahkan pesawat itu ditembak dengan peluru berpandu BUK dari wilayah dikuasai pemberontak di timur Ukraine, siasatan jenayah yang masih dijalankan perlu memberi jawapan tepat dan membenarkan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab itu.

Pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda Tjibbe Joustra mengesahkan bahawa MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK, semasa membentangkan laporan akhir.

Lima negara iaitu Australia, Belgium, Malaysia dan Belanda telah mengusulkan secara rasmi pada 14 Julai 2015 menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) menubuhkan tribunal jenayah bagi membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Sementara di Gilze-Rijen, Belanda, pembuatan semula sebahagian daripada jet Malaysia Airlines daripada bangkai pesawat yang diperolehi berselerakan di kawasan timur Ukraine memberitahu gambaran keadaan terakhir pesawat selepas ditembak jatuh oleh peluru berpandu.

Belanda dan penyiasat nahas udara kapal terbang membuat kesimpulan sebahagian daripada 298 telah mengetahui mereka akan terkorban selepas dari 90 saat tembakan peluru buatan Rusia BUK itu mengoyakkan bahagian sebelah kiri kokpit.

“Bahagian hadapan pesawat itu ditembusi oleh beratus-ratus objek bertenaga tinggi yang datang dari kepala peledak,” kata laporan itu yang dikeluarkan semalam oleh Lembaga Keselamatan Belanda menyimpulkan siasatan yang dilakukannya selama hampir 15 bulan. – Bernama/AFP