AS dibenarkan guna pangkalan Turki

AS dibenarkan guna pangkalan Turki

WASHINGTON, 24 julai – Turkey setuju benarkan tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara terhadap kumpulan Negara Islam (IS) menerusi pangkalan udara Incirlik, yang terletak di sempadan Syria, kata seorang pegawai kanan tentera AS.

Persetujuan itu adalah kejayaan kepada AS yang berusaha meningkatkan keberkesanan serangannya terhadap IS dan pada masa sama mengheret Turki untuk terbabit sama dengan lebih mendalam dalam konflik dengan IS.

Presiden Barack Obama dan Presiden Recep Tayyip Erdogan memuktamadkan persetujuan itu menerusi perbualan telefon pada Rabu, selepas beberapa bulan AS merayu untuk menggunakan Incirlik serta beberapa pangkalan lain di Turki.

Kecewa dengan tumpuan Obama untuk memerangi IS dan bukannya terhadap Presiden Syria, Bashar Assad, kerajaan Turki sebelum ini membantah cadangan AS itu.

Bagaimanapun dengan peningkatan kekacauan yang dicetuskan IS termasuk membabitkan warga Turki sejak beberapa hari lalu, Ankara mula memikirkan semula risiko yang dicetuskan IS di Turki terutama di kawasan sempadan.

Tentera AS dibenarkan menggunakan pangkalan tentera Turki untuk menyerang kumpulan IS. - AFP
Tentera AS dibenarkan menggunakan pangkalan tentera Turki untuk menyerang kumpulan IS. – AFP

Dalam pada itu, pegawai tentera AS berkata, akses menerusi pangkalan udara Incirlik di selatan Turki, tidak jauh daripada kubu kuat IS di Syria, akan memberikan kelebihan kepada AS untuk mengatur gerakan dan taktikal serangan terhadap sasaran IS.

Beroperasi menerusi pangkalan di selatan Turki akan membolehkan pasukan bersekutu diterajui AS membuat pemantauan terhadap Syria dan bertindak lebih cepat terhadap maklumat yang diraih berbanding ketika beroperasi dari Iraq, Jordan dan negara Teluk lain yang mana pilihan yang ada hanyalah membuat serangan udara.

Mengikut perjanjian itu, tentera AS akan dibenar melancarkan serangan udara menggunakan pesawat pejuang serta dron kawalan. Sebelum ini hanya serangan menggunakan dron kawalan jauh yang dibenarkan dari Turki.

Setakat ini, Turki belum mengumumkan secara rasmi persetujuan itu, begitu juga AS. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA