AS gesa China tamatkan urusan dengan Korea Utara

AS gesa China tamatkan urusan dengan Korea Utara

WASHINGTON, 8 Jan (Reuters) – AS semalam menggesa China supaya menamatkan ‘urusan seperti biasa’ dengan sekutunya, Korea Utara selepas Pyongyang menentang kuasa-kuasa dunia dengan mengumumkan ia telah menguji bom hidrogen.

Setiausaha Negara AS John Kerry berkata dia telah menjelaskan melalui panggilan telefon dengan Menteri Luar China Wang Yi bahawa pendekatan China kepada Korea Utara telah tidak berjaya.

“China mempunyai pendekatan tertentu yang ingin saya buat, yang kami persetujui dan hormati untuk memberi mereka ruang untuk melaksanakannya,” Kerry memberitahu para pemberita.

“Hari ini dalam perbualan saya dengan pihak China, saya telah menjelaskan bahawa itu tidak berjaya dan kita tidak boleh meneruskan urusan seperti biasa.”

China adalah penyokong utama diplomatik dan ekonomi Korea Utara meskipun hubungan antara kedua-dua musuh Perang Dingin itu telah menjadi dingin beberapa tahun kebelakangan.

Majoriti besar urusan Korea Utara adalah dengan China yang telah membeli 90 peratus eksport negara terpencil itu dalam tahun 2013, menurut data yang dikumpul oleh Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa Korea Selatan.

Korea Utara telah melancarkan ujian nuklear Rabu lalu, meskipun kerajaan AS dan pakar-pakar senjata meragui kenyataan Pyongyang bahawa peranti itu diledakkannya adalah bom hidrogen berkuasa tinggi.

Ujian itu mengundang kemarahan AS dan China, yang tidak dimaklumkan sebelumnya.

Diplomat tertinggi AS, Kerry berkata dia dan Wang bersetuju untuk bekerjasama rapat untuk memastikan apakah langkah yang mungkin diambil memandangkan kebimbangan meningkat ekoran ujian nuklear ini. Kerry berkata Amerika mempunyai ‘komitmen kukuh dan berterusan kepada keselamatan serantau dan pengawalan nuklear sejagat.’

Pada pagi semalam pesawat udara ‘penghidu’ dan pengesan lain belum mengesan sebarang bukti, seperti partikel di udara, yang akan mengesahkan kenyataan Korea Utara bahawa ia telah melancarkan bom H, menurut sumber kerajaan AS.

Korea Utara juga berkata ia mampu membuat bom hidrogen, secara teori membolehkannya diletakkan pada peluru berpandu dan mengancam Pantai Barat AS, Korea Selatan dan Jepun.