AS gesa Yameen tarik semula perundangan baru

AS gesa Yameen tarik semula perundangan baru

COLOMBO, 1 Ogos – Negara Barat mengingatkan hari ini bahawa satu rang undang-undang fitnah baru mungkin menjejas teruk kebebasan bersuara di Maldives tatkala mereka menuduh Presiden Abdullah Yameen menghakis demokrasi di pulau bulan madu itu.

Amerika Syarikat memimpin gesaan ke atas Yameen untuk menarik balik rang yang sedang dibincang di parlimen pada minggu ini, berkata ia memberikan pihak berkuasa kuasa untuk mengenakan pe-nalti berat ke atas orang yang berusaha mengamalkan hak asasi manusia.

“Rang undang-undang fitnah yang telah diperkenalkan di parlimen Maldives menghadapi risiko, sekiranya diluluskan, halangan serius untuk kebebasan bersuara di Maldives,” kata kedutaan AS dalam satu kenyataan.

“Ia akan membenarkan penalti berat dikenakan ke atas mereka yang ingin mengamalkan hak demokratik dan kebebasan mereka, seperti yang termaktub dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Awam dan Politik.”

Perutusan itu disokong oleh misi diplomatik Britain, Jerman, Norway dan Belanda yang berpangkalan di Sri Lanka serta Kesatuan Eropah, yang mempunyai tanggungjawab untuk rakyat Maldives.

Kenyataan juga meluahkan “kebimbangan mengenai hakisan asas kebebasan dan institusi demokrasi, termasuk kebebasan perhimpunan dan akhbar” di bawah Yameen, yang menjadi pemimpin pada 2013.

“Kami menggesa Presiden Yameen supaya mengubah kemerosotan yang dialami beberapa bulan lalu dan kembali ke jalan demokrasi, ketelusan dan kedaulatan undang-undang – demi kesejahteraan dan kemakmuran semua rakyat di Maldives,” tambahnya.

Polis Maldives menahan 16 wartawan pada April kerana membantah rang undang-undang berkenaan, yang berusaha menjadikan fitnah sebagai satu jenayah dan mencadangkan denda berat dan hukuman penjara untuk pesalah. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA