AS ‘hadiahkan’ Filipina dron

MANILA, 13 Mac – Amerika Syarikat (AS) telah memberikan pasukan angkatan udara Filipina sistem dron pengawasan pertamanya, ketika kedua-dua negara tersebut meningkatkan kerjasama mereka menentang kumpulan militan.

Washington telah meningkatkan sokongan terhadap usaha Filipina terhadap keganasan sejak kumpulan penyokong Islamic State (IS) itu merampas sebahagian daripada bandar selatan Marawi tahun lalu, yang mencetuskan pertempuran maut selama lima bulan.

Sistem kenderaan udara tanpa pemandu itu bernilai AS$13.2 juta, termasuk enam dron, diserahkan kepada tentera Filipina sebagai bekalan bantuan tentera AS yang terkini.

“Aset seperti ScanEagle akan meningkatkan keupayaan (ketenteraan Filipina) untuk mengesan aktiviti pengganas, aktiviti lanun dan pencerobohan wilayah,” kata Duta Besar AS ke Manila, Sung Kim kepada wartawan.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana berkata, sistem itu dilengkapi dengan kamera dan pesawat yang boleh terbang selama 24 jam, akan menyokong operasi terhadap kumpulan militan di selatan.

Pegawai tentera udara Filipina berdiri di hadapan ScanEagle Kenderaan Udara Tanpa Kawalan semasa upacara penyerahan di pangkalan udara tentera di Manila pada 13 Mac 2018. – AFP

Wilayah selatan Mindanao adalah pusat kepada beberapa kumpulan penyokong gerakan IS, termasuk yang menyerang Marawi pada bulan Mei tahun lalu dalam pertempuran yang mengorbankan lebih dari 1,100 nyawa.

Dron baru itu akan digunakan untuk misi peninjauan dalam pertahanan, bantuan kemanusiaan dan tindak balas bencana, kata Lorenzana.

“Dengan beberapa isu keselamatan yang dihadapi negara kita hari ini, terdapat keperluan untuk menaik taraf angkatan bersenjata negara kita,” kata Lorenzana.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah berusaha melonggarkan pakatan sepanjang 70 tahun antara Filipina dengan AS dan menginginkan hubungan rapat dengan kerajaan China dan Rusia.

Kemarahan Durterte sebahagiannya didorong oleh kritikan AS terhadap operasi memerangi dadah, yang telah menyaksikan polis membunuh beribu-ribu orang dan mendorong pemeriksaan awal Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Perhubungan kedua-dua negara tersebut telah bertambah baik di bawah Presiden Donald Trump, yang memuji Duterte untuk operasi memerangi dadah tetapi pemimpin Filipina semakin beralih ke Beijing dan Moscow untuk meningkatkan angkatan bersenjata mereka. Duterte bulan lalu membatalkan perjanjian untuk membeli helikopter dari Kanada selepas Ottawa mengarahkan kajian mengenai kebimbangan hak asasi manusia. – AFP